13 Mei: Dap Cuba Bersih Diri Dan Salahkan UMNO

SETIAP kali 13 Mei menjelang pada setiap tahun, setiap kali itu jugalah pemimpin Dap cuba membersihkan diri mereka dari peristiwa itu dan menyalahkan pemimpin UMNO ke atasnya.

Tahun ini, selepas Dap menjadi sebahagian daripada kerajaan, usaha pembersihan diri ini dibawa setapak lebih jauh melalui cubaan Malaysia Kini menulis semula sejarah 13 Mei.

Dimuatkan panjang lebar cerita-cerita mengenai kononnya pemula Peristiwa 13 Mei adalah orang-orang Melayu dan yang menjadi mangsa adalah orang-orang bukan Melayu.

Langsung tidak disebutkan mengenai perarakan kemenangan Dap dan Gerakan di ibu kota selepas PRU 3 serta kata-kata kesat yang dilemparkan kepada orang-orang Melayu.

Penasihat SUARAM, Kua Kia Soong, dengan beraninya mendakwa Peristiwa 13 Mei adalah pembunuhan beramai-ramai terancang (orchestrated pogrom) ke atas orang-orang Cina.

Kata Kua Kia Soong, tujuan pembunuhan beramai-ramai ini dibuat adalah bagi membolehkan pemimpin Melayu dalam Perikatan merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.

Tanpa apa-apa bukti konkrit, dakwaan begini adalah satu cubaan untuk mencemarkan nama baik bukan sahaja Tun Abdul Razak Hussein malah Tun Dr Mahathir Mohamad juga.

Lebih jauh lagi, kita melihat usaha menulis semula sejarah 13 Mei ini sebagai usaha awal untuk memberikan justifikasi kepada penghapusan langkah-langkah afirmatif sejak 1971.

Jika Dap dan Malaysiakini benar-benar serius mahu membincangkan dengan sepenuhnya Peristiwa 13 Mei maka mereka perlu juga membincangkan peranan Dap di dalamnya.

Sangat perlu dijawab persoalan jika benar Dap tidak terlibat di dalam Peristiwa 13 Mei mengapa pemimpin utamanya, Lim Kit Siang, ditahan di bawah ISA pada 18 Mei 1969.

Lihat pula senarai panjang kenyataan-kenyataan bersifat anti-Melayu dan anti-Islam yang dijadikan asas kepada penahanan Lim Kit Siang di bawah ISA pada 18 Mei 1969 ini:

(1) Menyebut, pada 27 Julai 1968, di satu ceramah umum Dap di Tanjong Malim, Perak, bahawa “dasar pelajaran kerajaan adalah dirangka untuk mencapai penghapusan akhbar-akhbar Cina, sekolah-sekolah Cina dan bahasa-bahasa Cina”.

(2) Menyebut, pada 24 Ogos 1968, di satu ceramah umum Dap di Slim River, Perak, bahawa “satu poster pelancongan dengan kata-kata Melayu ‘cakaplah bahasa kebangsaan sahaja’ jelas menggambarkan dasar satu bahasa kerajaan dan bahawa pengalihbahasaan filem-filem televisyen Inggeris, Cina dan Tamil dengan Melayu adalah tidak adil kepada kaum-kaum lain kerana bahasa-bahasa mereka tidak diberikan status sama”.

(3) Menyebut, pada 7 September 1968, di satu ceramah umum Dap di Batu 24, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, dan pada 21 September 1968, di Kampung Baru Sungei Way, Selangor, bahawa “MCA membantu kerajaan menindas bahasa Cina seperti terbukti oleh ketidakpengiktirafan terhadap projek Universiti Nanyang”.

(4) Menyebut, pada 29 September 1968, di satu ceramah umum Dap di Batu Pahat, Johor, pada 2 November 1968, di Lawan Kuda Bahru, Gopeng, Perak, dan pada 26 Januari 1969, di Jalan Yow, Pudu, Kuala Lumpur, bahawa “dasar Perikatan adalah ‘dasar perkauman’ kerana Perikatan telah memberikan lebih banyak keistimewaan kepada golongan Bumiputera dalam pelajaran universiti”, bahawa “terdapat warganegara kelas pertama dan warganegara kelas kedua – golongan Bumiputera merupakan warganegara kelas pertama”, dan bahawa “kurniaan-kurniaan pingat seperti P.P.M. tidak membawa apa-apa nilai kerana ia diberikan kepada orang-orang di jalanan dan bahawa P.P.M. membawa makna ‘Pelan Pelan Mati’”.

(5) Menyebut, pada 12 Februari 1969, di satu ceramah umum Dap di Jalan Lengkongan Brunei, Kuala Lumpur, bahawa “kerajaan melakukan diskriminasi antara pelbagai kaum dalam peperiksaan kemasukan ke Universiti Malaya, dalam pekerjaan dan dalam pengagihan tanah dan bahawa kedudukan istimewa diberikan kepada orang-orang Melayu”.

(6) Menyebut, pada 13 Mei 1969, di satu ceramah umum Dap di Kampong Ayer, Kota Kinabalu, Sabah, bahawa “kerajaan sedang cuba mewujudkan satu Malaysia Melayu dengan membahagikan rakyat kepada golongan Bumiputera dan golongan bukan Bumiputera, bahawa “orang-orang Melayu adalah golongan Bumiputera kelas pertama”, bahawa “kerajaan sedang melaksanakan satu dasar ‘Me-Malaysia-kan’ Sabah di mana semua jawatan tertinggi dipegang oleh orang-orang Melayu”, bahawa “kerajaan sedang melaksanakan dasar pengeksploitasian oleh orang-orang Melayu ke atas kaum-kaum lain” dan bahawa “kerajaan dengan melangsungkan Persidangan Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur bercadang untuk menghantar warganegara-warganegara Malaysia untuk mati di Timur Tengah bagi menawan Jerusalem untuk Dunia Islam”.

Sediakah Lim Kit Siang dan Dap mengakui peranan mereka di dalam Peristiwa 13 Mei ini dan sediakah mereka meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan mereka ini?

Terima kasih.

DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID
Naib Presiden UMNO / Ahli Parlimen Padang Terap
15 Mei 2019

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.