Ulang Tahun UMNO Mempunyai Makna Yang Amat Signifikan Kepada Ahli Parti


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Sambutan ulang tahun UMNO yang disambut saban tahun pada 11 Mei mempunyai makna yang cukup signifikan kepada pimpinan dan juga seluruh pendokong serta penyokong parti berkenaan.

Walaupun ini tahun pertama sebagai parti pembangkang selepas 61 tahun mengemudi negara bersama rakan-rakan parti komponen lain menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), ulang tahun yang ke-73 pada tahun ini benar-benar menyuntik semangat yang baharu kepada semua peringkat.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perjalanan parti mempunyai cabaran serta ujian turun dan naik yang pastinya menuntut kepada istiqamah ahli parti.

“Hari ini kita sampai ke satu tarikh ulang tahun UMNO ke-73. Perjalanan UMNO mempunyai ujian dan cabaran turun serta naik.

“Tetapi Alhamdulillah, istiqamah yang dipegang oleh ahli-ahli menjadikan parti ini sentiasa menjadi relevan bukan sahaja kepada perjuangan orang Melayu tetapi juga kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Semoga ulang tahun ke-73 ini akan membugarkan satu semangat yang baru dan menjadikan ahli-ahli terus semangat dan membawa negara, umat dan agama serta bangsa ke sebuah landasan perjuangan yang sebenarnya untuk kepentingan bersama,” katanya.

Sabtu lalu, lebih 2,000 ahli dan pendokong parti menyambut Ulang Tahun UMNO ke-73 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam suasana sederhana namun ianya penuh bermakna.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang kemudian diikuti ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO.

Majlis diteruskan dengan iftar dan diikuti solat Maghrib, solat hajat yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum kemudiannya menunaikan solat Isyak dan solat Terawih.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang, Nordiana Mat Sehat berkata sambutan ulang tahun UMNO kali ini ada sedikit kelainan berbanding sambutan pada tahun sebelum-sebelumnya setelah parti mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kali ini kami terus bersemangat..walaupun sambutan dalam puasa tidak banyak aktiviti dapat diadakan namun kita dapat berbuka puasa bersama serta solat terawih. Ini dapat mengeratkan ukhuwwah sesama kita.

“Keduanya kalau nak kata sedih memanglah sedih namun namun kesedihan itu tidak boleh diteruskan dan tidak boleh berpanjangan kerana tugas kita adalah untuk membela agama bangsa dan negara.

“Sebagai jentera parti, apa pun kami terus bersemangat dan terus kekal dengan parti. Kami menambah baik dari apa yang kita dah buat pada masa yang lepas untuk terus ke depan khususnya menghadapi PRU akan datang insya-Allah,” ujarnya.

Manakala bagi Ketua Puteri UMNO Melaka, Nurasyiqin Alias turut berpandangan ahli Puteri perlu terus menongkah ke depan dan tidak perlu lagi melihat ke belakang dalam usaha memperkasakan parti dan terus berkhidmat untuk rakyat pelbagai peringkat.

“Hari ini membuktikan UMNO masih lagi relevan kepada rakyat…dan hari ini rakyat sedar apa yang UMNO dan BN lakukan dan laksanakan selama ini. Kita lihat janji PH apa sudah jadi…

“Sehubungan itu kita yang berada di dalam UMNO perlu bangkit bersama untuk mempertahankan dan memperjuangkan apa yang telah diperjuangakan sejak sekian lama…percayalah UMNO masih relevan dan kita dapat lihat parti dapat menarik anak-anak muda dan mereka mula minat kepada UMNO hari ini.

“Sebelum ini banyak fitnah ditaburkan kepada UMNO…dan hari ini banyak harapan palsu berada di depan mata. Saya percaya UMNO terus teguh dan bangkit untuk kepentingan rakyat dan negara, insya Allah,” ujarnya. – Media UMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.