Ahli UMNO Jangan Patah Semangat, Teruskan Perjuangan Menuju PRU-15

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyeru kepada semua ahli parti untuk meneruskan perjuangan walaupun suasana politik masa kini amat mencabar.

Jelas beliau, dalam keadaan kedudukan orang Melayu dan agama Islam dilihat tercabar dan terancam, UMNO dituntut untuk merapatkan saf kepimpinan bagi memperkukuhkan kesatuan untuk terus menghadapi cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Sempena ulang tahun UMNO ke-73, saya berasa amat bangga di atas kejayaan parti keramat ini yang telah banyak berjasa membela agama, bangsa dan tanah air ini.

“Justeru, saya berharap semua ahli UMNO jangan kecewa dan menyerah kerana masih ada cahaya di hujung terowong, kita masih ada perjuangan yang murni untuk diteruskan. Saya percaya rakyat akan kembali bersama kita kerana keikhlasan UMNO dalam perjuangan yang kita bawa demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Sabtu lalu, 11 Mei adalah ulang tahun UMNO ke 73 yang berlangsung meriah walaupun dalam suasana sederhana. Hampir 2,000 orang ahli UMNO berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi meraikan ulang tahun parti keramat ini.

Lebih memberi makna, selain parti komponen Barisan Nasional (BN), barisan kepimpinan PAS juga buat julung-julung kalinya bersama-sama meraikan hari bersejarah tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.