UMNO 73 Tahun: Bangsa Kini Diuji, Dihina, Dipermainkan… Ayuh Bersatu!

11 Mei 2019, maka genaplah ulang tahun yang Ke-73 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, (PEKEMBAR) atau (UMNO).

Penubuhan UMNO pada tahun 1946 di Istana Besar Johor, Johor Bahru, Johor ialah hasil dari berlangsungnya Kongres Pertama Kebangkitan Bangsa Melayu yang di anjurkan oleh Datuk Sir Onn Bin Jaafar, yang ketika itu Pegawai Daerah Batu Pahat, Johor.

Kongres tersebut berlangsung selama 4 hari mulai 1 Mac sehingga 4 Mac 1946 bertempat di Dewan yang penuh bersejarah iaitu Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah merumuskan penubuhan sebuah Wadah dan Institusi Keramat dan Berdaulat Bangsa Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO dengan Cogankata Perkasa iaitu Hidup Melayu Bersatu Hati.

Datuk Sir Onn Bin Jaafar adalah Wira Terbilang Bangsa Melayu dan Bapak Nasionalis Melayu serta Tokoh Pengaman dan Penyelamat Bangsa.

Sungguhpun Datuk Sir Onn Bin Jaafar dalam tempoh yang singkat iaitu selama 5 tahun memimpin UMNO dan meninggalkan UMNO dengan alasan berpegang teguh kepada prinsipnya sendiri, namun Parti Keramat yang diasaskan oleh Datuk Sir Onn Bin Jaafar dengan cogankata keramat “Bersatu Hati Menentang Malayan Union” telah berjaya mengembalikan semula kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja-Raja Pemerintah di Negeri masing-masing dan meletakkan semula ketinggian maruah Bangsa Melayu di Tanahairnya sendiri dengan merobohkan Malayan Union dan mendirikan Kerajaan Pesekutuan Tanah Melayu pada 1 Feb 1948.

Wadah keramat ini iaitu PEKEMBAR/UMNO dengan seruan Bersatu Hati dan Ikatan Perpaduan Bangsa Melayu yang kukuh meneruskan perjuangannya untuk menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu dibawah pimpinan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj seorang anak Raja yang berjiwa rakyat telah berjaya menghalau keluar penjajah berdebah dan keparat dari Tanah Melayu yang berdaulat dan Tanah Melayu telah mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah Bapak Kemerdekaan Malaysia yang di hormati, di sayangi dan yang diabadikan dalam hati.

Marilah kita Bangsa Melayu sebagai pewaris di Tanahair yang tercinta ini merakamkan kenangan kita mengenai detik sejarah yang diperjuangkan oleh Pahlawan-Pahlawan dan Pejuang-Pejuang Kemerdekaan Tanahair kita sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Yang Ke-73 dan berdoa semoga Pejuang-Pejuang Tanahair yang telah berpulang ke Rahmatullah Taala semoga dilimpah rahmat oleh Allah SWT dan dihimpunkan bersama-sama para Syuhada dan Solihin. Aamin, AL-FATIHAH

UMNO adalah Parti Keramat Bangsa Melayu yang telah berjasa untuk mengembalikan semula Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menebus semula Maruah Bangsa Melayu dari tipu helah penjajah Inggeris.

UMNO telah juga berjasa untuk mempelawa Kaum Cina menerusi Malaysian Chinese Association (MCA) dan Kaum India menerusi Malaysian Indian Congress (MIC) untuk turut terlibat dalam Politik Tanahair dibawah Parti Perikatan untuk dibawa runding bagi mencapai Kemerdekaan Negara.

Dengan perundingan Pemimpin-Pemimpin UMNO, MCA dan MIC atas sikap tolak ansur dan khasnya kemurahan hati orang-orang Melayu telah merelakan untuk menganugerah kerakyatan kepada kaum Cina dan kaum India iaitu “Jus Suli” yang menjadi salah satu persetujuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Maka amat wajarlah tiap-tiap seorang Rakyat Malaysia khasnya Melayu, Cina dan India, menghormati dan menghargai jasa-jasa UMNO ini. Justeru seterusnya memelihara dan mempertahankan UMNO yang telah memberi nikmat kejayaan dalam serba serbi bidang serta dapat hidup bertoleransi selama 62 tahun Kemerdekaan Tanahair kita yang tercinta ini.

Kita berasa amat sedih dan kesal bahawa kebelakangan ini Parti Keramat Bangsa Melayu ini sedang terancam bukan sahaja dari kalangan orang-orang Melayu sendiri bahkan juga dari bukan Melayu yang telah menerima nikmat dan segala faedah serta hasil yang diperjuangkan oleh UMNO akibat dari tindak tanduk sebahagian dari Pemimpin-Pemimpin UMNO.

Bahawa sedarlah UMNO tidak berdosa. Maka amat tidak wajarlah UMNO dikutuk dan dikecam akibat dari tindak tanduk segelintir Pemimpin-Pemimpin UMNO.

Bahawa kecaman dan kutukan kepada UMNO dianggap sebagai tidak kenang budi jasa UMNO yang dianggap sebagai “Ibu Kandung” kepada Bangsa Malay, Rakyat Malaysia dan Negara Malaysia.

Oleh yang demikian sempena menyambut ulang tahun yang ke-73 UMNO, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia hendaklah sentiasa kenang, hargai dan hormati UMNO.

Oleh itu marilah kita khasnya Bangsa Malayu mengukuhkan perpaduan sesama kita. Bangsa Melayu kini diuji, dihina, dan dipermainkan atas sebab perpecahan sesama kita. Cukuplah perpecahan yang telah berlaku yang menjadikan kita serpihan kecil yang mungkin akan hilang kedaulatan dan kekuatan serta maruah bangsa Melayu.

Marilah kita bangsa Melayu khasnya, sempena meyambut ulang tahun yang ke-73 UMNO sebagai wadah bangsa dan parti keramat Melayu sentiasa mengamalkan sifat kasih sayang, hormat menghormati serta eratkan semula perpaduan bangsa Melayu untuk masa depan yang lebih bahagia, lebih sejahtera, lebih aman dan lebih makmur demi kepentingan anak cucu dan warisan kita di Negara Malaysia yang tercinta. Amin

Wassalam

Yang Ikhlas
Tan Sri Dato’Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Ahli Veteran UMNO 

Tokoh Anugerah Melayu Terbilang 2017
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
Sabtu, 11 Mei 2019 / 6 Ramahan 1440H

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.