Ulang Tahun UMNO Ke-73 Berlangsung Meriah

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lebih 2,000 ahli dan pendokong parti menyambut Ulang Tahun UMNO ke-73 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam suasana sederhana namun ianya penuh bermakna.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang kemudian diikuti ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO.

Majlis diteruskan dengan iftar dan akan diikuti solat Maghrib, solat hajat dan bacaan Yassin serta tahlil yang diketuai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum kemudiannya solat Isyak solat Terawih.

Terdahulu sebelum itu, pada majlis berkenaan, Datuk Seri Mohamad turut melancarkan Kempen Penambahan Keahlian UMNO yang dikendalikan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Ini adalah tahun kedua sambutan ulang tahun sebagai pembangkang.

Namun begitu, walaupun sebagai pembangkang, semangat serta istiqamah ahli parti dalam perjuangan bukan sahaja tidak luntur malah hari ini semakin kukuh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pembela rakyat.

Pada sebelah petang tadi, turut berlangsung Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO selain Pembentangan Meja Bulat Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (PEMBELA) oleh Pemuda UMNO serta majlis Tadarus al-Quran oleh Pergerakan Wanita UMNO.

Turut hadir sambutan ulang tahun berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Hj Mahfodz Mohamed dan kepimpinan rakan-rakan BN dari Makkal Sakti, KIMMA, IPF dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Turut serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO pusat serta ahli-ahli UMNO di semua peringkat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.