Masa Depan UMNO Bergantung Kepada Perjuangan Politik Kebangsaan Berasaskan Islam – Tok Mat


KUALA LUMPUR 11 Mei – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata masa depan UMNO sangat bergantung pada bagaimana UMNO memperjuangkan politik kebangsaan berasaskan Islam.

Sebabnya jelas beliau kerana Islam itulah yang mendorong orang Melayu menjadi bangsa yang rasional dan berkemajuan.

“Jika UMNO ingin berkelangsungan, UMNO mesti mengangkat politik Melayu Islam sebagai agenda masa depannya.

“Semangat kebangsaan Melayu yang kita perjuangkan selama ini mesti diispirasikan dan dipimpin dengan kefahaman Islam yang lebih mendalam. Contoh paling baik ialah melalui agenda Perpaduan Ummah UMNO-PAS. Sudah tiba masanya kita memberi nafas baharu kepada konstruk ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-73 dan berbuka puasa di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Sabtu malam.

Turut hadir pada majlis sambutan tersebut, bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Selain komponen BN, MCA dan MIC dan rakan-rakan BN dari Makkal Sakti, KIMMA, IPF dan Parti Cinta Malaysia (PCM). turut serta dalam majlis tersebut adalah kepimpinan PAS yang terdiri Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mahfodz Mohamed, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan

Mohamad seterusnya Berkata orang-orang Melayu UMNO dan PAS sebenarnya bersaudara.

“Kita mengesakan Tuhan yang satu dan berselawat memuji Nabi yang sama. Namun begitu, keegoan politik telah memberi sengketa kepada bangsa kita berdekad lamanya.

“Alangkah ruginya umat Islam dengan politik perpecahan sebegini. Sehinggakan kita sanggup bersolat di masjid yang berlainan. Sekarang kita mesti runtuhkan tembok-tembok naratif tersebut. Kita bina makna dan kesepakatan yang baharu atas semangat dan politik Melayu Islam cara kita sendiri”, ujarnya.

Jelas beliau lagi perjuangan kebangsanan Melayu itu insklusif. iaitu tidak meminggirkan sesiapa dan mendukung syiar Islam yang menyeru kepada perpaduan serta kesatuan demi kebaikan bangsa dan agama.

Tambahnya politik Melayu Islam cara ini adalah politik yang mendukung nilai kebangsaan tetapi dipandu dengan kekuatan Tauhid.

“Politik Melayu Islam cara kita ini adalah yang menganjurkan pemikiran berkemajuan dan disandarkan dengan nilai-nilai keadilan, pertanggungjawaban dan kesaksamaan.

“Politik Melayu Islam cara kita tidak melabel, menghukum dan memegang prejudis.

“Selepas lebih 70 tahun UMNO ini berdiri sebagai pembela bangsa, sudah tiba masanya nilai, sikap dan pemikiran kita diberikan lonjakan baru. Maka InsyaAllah, politik Melayu Islam akan menjadi lonjakan baru itu”, katanya.

Tegas beliau tiada tarikh akhir atau titik henti dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Sudah sunnah orang berjuang, kejayaan dan kegagalan adalah lumrah. Apa yang UMNO melalui ketika ini adalah gelora dalam perjuangan. Langit tidak selalunya cerah mendung pun akan berlalu jua.

“Namun, sebagai orang perjuangan, selagi kita mampu selagi kudrat masih bersatu dengan jasad kita wajib teruskan. Kita tidak perlu berhenti malah kita tidak sepatutnya berhenti”, ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan jangan sesekali mengatakan bahawa UMNO telah musnah, telah hancur dan pelbagai lagi anggapan buruk.

Ini kerana tegasnya UMNO itu lahir dari idea yang baik dan idealogi UMNOlah yang telah membidani negara ini dan memakmurkannya.

“Jadi kerana itu saya sangat berterima kasih kepada saudara-saudari kerana terus Bersetia dengan UMNO dalam kuatnya dan dalam lemahnya.

“Berbakti itu bukan sahaja pada masa kita berkuasa. Dengan anggapan apabila kita tidak punya kuasa kita tidak mampu melakukan apa-apa.

“Semakin kita tewas, semakin kuat kita sepatutnya bekerja dan berjuang. Semakin berani dan semakin banyak seharusnya kita member kepada agama dan bangsa”, katanya.

Justeru beliau berpesan agar seluruha ahli UMNO agar tidak sesekali tinggalkan UMNO dek kerana tewasnya UMNO.

Sebaliknya seluruh ahli tambahnya mesti terus giat, bangunkan semula UMNO bukan sahaja untuk kembali berkuasa tetapi sebagai bakti dan amal kepada orang Melayu.

“Marilah kita mengerah segala kudrat yang ada. Menggembleng dan mencanai segala idea dan pemikiran yang baik. Dan merapatkan segala persahabatan dan persaudaraan antara kita.

“Maksudnya, sesiapa jua yang melarikan diri dan mengelak daripada amanah memperjuangkan agama dan tanah air amat dikecam dalam Islam.

“Ertinya bahawa kecintaan kepada negara atau hubbul watan itu dikira sebagai sebahagian daripada tuntutan agama. Perjuangan membela bangsa dan tanah air itu selari dengan ajaran agama. Kedua-duanya adalah kutub yang seiring dan tidak terpisah”, ujarnya.

Justeru tegas beliau seluruh ahli harus menerima dan menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik, dengan ikhlas dan dengan bersungguh-sungguh. -MediaUMNO