UMNO Sebuah Perjuangan, Terus Istiqomah Dan Perbaiki Diri – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO adalah sebuah perjuangan yang mewakili hati nurani orang-orang Melayu, kaum bumiputera, anak negeri serta citarasa rakyat Malaysia.

“Sempena hari UMNO dan ulang tahun kelahiran parti yang ke 73, marilah sama-sama memperingati kembali bahawasanya UMNO bukannya sebuah parti politik pilihan raya tetapi UMNO telah diwujudkan sebelum ada sistem pilihan raya.

“Justeru itu marilah sama-sama kita memperingati UMNO itu adalah sebuah perjuangan dan UMNO itu sudah tentu ‘naik turunnya’ bergantung pada situasi dan keadaan pada sesuatu masa atau keadaan, ini menuntut kepada seluruh ahli-ahli UMNO istiqomah pada perjuangan dan mempunyai semangat yang kental serta tahap kesabaran yang tinggi,” katanya dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun UMNO, di sini, hari ini.

Tambah Annuar Musa lagi, tahun ini adalah tahun pertama UMNO menyambut ulang tahunnya dalam keadaan parti bukan sebuah parti memerintah.

Namun begitu katanya sebagai sebuah parti diwujudkan dan mencorakkan nasib agama , bangsa dan tanah air maka sudah tentu semua pihak harus membuat persiapan untuk memperbaiki diri dan seterusnya untuk mencapai tampuk kekuasaan agar perjuangan parti menjadi lebih bermakna.

“Marilah kita sama-sama menanam keazaman yang tinggi untuk kita istiqamah dengan perjuangan UMNO dan untuk membulatkan tekad bahawasanya apa yang kita lakukannya ini adalah sebahagian dari tuntutan agama kita, kebertanggungjawapan kita kepada bangsa dan tanah air,” tambahnya.

“Insya allah dengan perjuangan yang istiqamah itu kita akan mendapat pertolongan dari Allah swt untuk kembali menjadi sebuah parti yang benar-benar akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab membela sebuah bangsa Malaysia, Negara Malaysia yang lebih sejahtera , lebih makmur serta rakyat dapat bernaung dibawahnya.

“Insya-Allah…mudah-mudahan berkat perjuangan kita semua kita akan beroleh kejayaan. Kita bertekad , berazam dan berserah keatas Allah. Mudah-mudahan Allah swt membantu dengan segala keatas pergerakkan kita,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.