UMNO Bakal Raikan Ulang Tahun Ke-73 Esok

KUALA LUMPUR, 10 Mei – UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke 73 esok, dan sepertimana tahun sebelum ini sambutan tersebut akan diadakan secara sederhana dengan penuh teratur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis akan dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang kemudian diikuti ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO.

Kemudiannya majlis akan diteruskan dengan iftar bersama sebelum solat Maghrib serta solat hajat dan Tahlil. Ini disusuli dengan solat Isyak serta solat Terawih di Surau Ar-Rahman, PWTC.

Terdahulu, pada sebelah petang dijadualkan berlangsungnya Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO selain Pembentangan Meja Bulat Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (PEMBELA) oleh Pemuda UMNO serta majlis Tadarus al-Quran oleh Pergerakan Wanita UMNO.

Ahli parti serta penyokong dan pendokong serta mereka yang ingin bersama dan meraikan sambutan ulang tahun UMNO dialu-alukan untuk bersama-sama hadir esok.

Ini adalah tahun pertama sambutan ulangtahun sebagai pembangkang. Namun begitu, walaupun sebagai pembangkang, semangat serta istiqamah ahli parti dalam perjuangan bukan sahaja tidak luntur malah hari ini semakin kukuh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pembela rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.