UMNO 73 Tahun: Terima Kasih Yang Masih Bersetia, Bersama Kukuhkan Parti – Khaled

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin amat menghargai pendukung-pendukung parti yang masih Bersetia bersama UMNO tanpa mengira apa keadaan sekalipun.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli-ahli UMNO yang masih Bersetia dengan parti, yang masih kekal berjuang walaupun dalam keadaan UMNO kuat dan lemah, baik dan buruk serta ketika berjaya dan tidak berjaya.

“Kedua, saya berharap ahli-ahli parti bersama memainkan peranan untuk membangunkan parti. Saya harap kita semua akan dapat pastikan parti kita ini kekal sebagai parti yang dipercayai orang Melayu khususnya.

“Saya juga berharap kita dapat bangunkan keyakinan ahli-ahli parti supaya menjadikan parti kita medan utama perjuangan bagi orang-orang Melayu,” ujarnya kepada UMNO-Online dalam ucapan sempena menyambut ulang tahun UMNO ke-73 11 Mei ini.

Tambah Khaled lagi, beliau turut mengharapkan semua pihak tanpa mengira siapa sama-sama menyumbang demi kekuatan parti.

“Dan ketiga, saya berharap kita semua dapat memainkan peranan menyumbang kepada kekuatan parti. Marilah kita sama-sama menyumbang menguatkan parti dengan kita menghulur, melakukan pengorbanan dan sebagainya.

“Usaha untuk menjaya dan memperjuangkan parti bukanlah hanya melalui seruan dan mengajak tetapi ia juga bergantung kita semua untuk sama-sama menyumbang, berkorban jiwa dan raga serta sahaja yang kita ada kerana kitapun faham keadaan parti kita pada hari ini.

“Perjuangan kita masih panjang… Insya-Allah jika kita bersama dan bersatu saya percaya akan mencapai matlamat kita,” katanya lagi.

Khaled turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO yang ke-73 kepada semua pemimpin dan ahli-ahli parti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.