Hikmah Hilang Kuasa… Perpaduan Ummah Semakin Utuh – Noraini

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Esok, hari ulang tahun UMNO yang ke-73 pastinya akan dinantikan oleh semua pendukung parti.

Tidak ketinggalan juga bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad yang mengatakan kesyukuran kerana parti akan memasuki usia yang ke-73 tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini tahun ke-73 parti dilahirkan dan saya ingin ucapkan tahniah kepada UMNO,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi, tahun ini merupakan tahun kedua UMNO menyambut hari ulang tahun penubuhannya dalam keadaan hilang kuasa kerajaan pusat dan di beberapa negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Walaupun begitu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, semuanya ada hikmah yang tersendiri apabila perpaduan ummah menjadi semakin utuh.

“Walaubagaimanapun saya melihat perpaduan ummah semakin utuh terutamanya antara UMNO, Barisan Nasional dan juga satu lagi parti Melayu terbesar iaitu PAS.

“Dan Insya-Allah kalau perpaduan ummah ini berterusan, saya percaya kita kembali menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum yang kelima belas,” jelasnya.

Pada 5 Mac lalu, UMNO dan PAS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas antara kedua-dua parti telah mengumumkan kerjasama rasmi dengan agenda utama memfokuskan kepada penyatuan ummah.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berkata, agenda utama kerjasama UMNO dan PAS adalah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kemajmukan dalam negara ini.

“Sudah menjadi tugas hakiki kita untuk menyatupadukan Melayu dan ummah di Malaysia dengan jaminan akan membela kemajmukan di negara ini tanpa meminggirkan sesiapa pun baik dari segi bangsa, kaum dan agama kerana apa yang hendak kita capai dalam negara ini adalah aman damai dan sejahtera,” ujarnya.

Kata Mohamad juga, mesyuarat bersetuju untuk memantapkan kerjasama kedua-dua parti di Parlimen sebagai pembangkang yang akan menjadi semak dan imbang serta kesepakatan dalam menghadapi siri-siri pilihan raya kecil. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.