Setahun Kerajaan PH Ibarat Kartun The Flintstones… Kembali Ke Zaman Batu

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pentadbiran setahun kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan (PH) ibarat kartun The Flintstones, ujar Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Menurut beliau, segala tindak tanduk dan pengumuman yang dibuat oleh PH semuanya mundur ke belakang sedangkan selama ini Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh memajukan negara ini agar mampu berdaya saing dengan negara Asia yang lain.

“Hari ini dalam sejarah bila Perdana Menteri yang kita sayangi mencadangkan agar para pesawah menanam padi di waktu malam. Lepas ini akan banyaklah terpampang di dada akhbar cerita pesawah dipatuk ular. Sebab itu saya gelar kerajaan hari ini The Flinstones.

“Kerajaan hari ini sebenarnya rakus dan bodoh sombong… bodoh yang tidak boleh diajar dan sombong yang tidak boleh diikut. Contoh, cermin gelap… PDRM pun tidak bersetuju atas dasar keselamatan akan memudaratkan negara… inikah yang anak muda mahu? Anak muda yang mengundi PH pada PRU-14 lalu… adakah anda sekarang gembira,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Mutalif, setahun pentadbiran PH juga kini boleh dirungkaikan melalui tiga perkara iaitu Orang Melayu hancur di mana sekarang ini semakin jelas dapat dilihat orang Melayu dihina, dicerca, dipanggil bodoh, pemalas dan dikatakan matrikulasi adalah pintu belakang untuk orang Melayu.

“Inikah cara kerajaan yang dulunya menjanjikan bulan bintang tapi hari ini menghina kaum Melayu yang mana tanpa Melayu mana mungkin dia menjadi perdana menteri semula. Inilah hadiah PRU-14.. bukannya PTPTN dihapuskan, minyak turun dan tol ditutup, tapi kesengsaraan.

“Kedua, perkauman semakin memburuk dan ini sangat bahaya buat negara ini. Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, aman makmur dan saling menghormati tanpa ada perbezaan kaum namun sayangnya PH telah menyemaikan rasa benci yang akhirnya isu perkauman semakin memburuk.

“Hari ini bila orang Melayu tengok Cina, orang Cina tengok Melayu ibarat macam api dengan minyak. Kerajaan hari ini yang mewujudkan situasi sebegini. Sebab itu UMNO dan PAS berusaha keras memupuk perpaduan ummah untuk semua bangsa,” terangnya lagi.

Perkara ke tiga terang Mutalif adalah soal paling penting iaitu ekonomi kerana keadaan ekonomi sekarang ini dilihat semakin merudum.

“Melihat kepada kajian dan laporan dari Bloomberg, maka ia membawa maksud tidak lama lagi ‘almarharhum’lah negara ini.. Malaysia negara yang muflis. Manakan tidak, ekonomi negara saat ini ibarat telur dihujung tanduk.

“Para pelabur asing telah mula menarik kembali pelaburan mereka, hutang negara semakin meningat dan ini semua akan memburukkan lagi keadaan kewangan negara. kerajaan seharusnya mencari jalan mengatasi perkara ini dan bukannya meletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu.

“… tapi apa boleh buat, menteri kewangan yang kita adapun selalu salah titik perpuluhan. Kini kita hanya boleh berdoa agar negara ini tidak semakin rosak sebab apa? Sebab kitalah yang terpaksa menanggung akibatnya,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.