Pemuda Percaya UMNO Akan Bangkit Kembali Demi Perjuangan Yang Dibina Bersama – Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pemuda UMNO percaya parti akan bangkit kembali bukan sahaja dengan wajah yang baharu malah nilai perjuangan yang akan kembali dalam menongkah arus perjuangan parti ke depan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dengan segala khazanah serta pengalaman sebelum ini ianya memberi dan membawa makna yang amat besar serta berharga kepada semua.

“Saya mewakili keluarga besar Pemuda UMNO mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-73, mudah-mudahan dengan segala khazanah, pengalaman dan jatuh bangun parti yang cukup besar maknanya kepada agama, kepada bangsa dan kepada negara, kita akan mampu untuk bangkit semula.

“Bangkit dengan suatu wajah yang baharu, roh yang baharu dan paling penting nilai perjuangan baru untuk kita kembali kepada rakyat mengangkat martabat mereka, menjulang mereka dengan asas-asas yang kita bina bersama.

“Tidak lain dan tidak bukan UMNO adalah parti yang memperjuangkan Islam, bangsa kita dan kesejahteraan keseluruhan rakyat di negara ini. Selamat ulang tahun UMNO ke-73,” katanya, di sini, hari ini.

UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke 73 esok, dan sepertimana tahun sebelum ini sambutan tersebut disambut secara sederhana dengan penuh teratur.

Majlis akan dimulakan dengan ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO, kemudiannya diteruskan dengan iftar bersama di aras tiga, diikuti solat Maghrib serta solat hajat dan Tahlil. Seterusnya solat Isyak serta solat Terawih di Surau Ar-Rahman, PWTC – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.