Setahun PH Yang Mengecewakan Islam, Ummah dan Negara

PENDANG, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Suraya Yaacob berkata, setahun Pakatan Harapan (PH) mencengkam kuasa, ternyata jelas dapat di lihat Malaysia yang dibangga-banggakan dulu bagaikan mundur ke belakang.

Jelas beliau, bukan sekadar dasar yang seolah-olah mengenepikan kepentingan Islam dan bangsa Melayu malah negara ini hampir huru-hara dikerjakan barisan kabinet yang sangat mengecewakan Perdana Menteri.

“Malaysia menjadi perhatian dunia sejak PH ‘menjajah’ negara. Dengan jolokan ‘Malaysia Baharu’, ia bertukar menjadi momokan bahan lelucon majoriti rakyat, khususnya netizen. Agak mengejutkan, namun itulah hakikat pahit yang perlu ditelan.

“Akibat tidak tahan disindir natizen, ada pemimpin yang menghamburkan kemarahan di rostrum sekolah, ada pula pemimpin yang terpaksa menahan malu diherdik pedih setiap kali beritanya dikongsi di media sosial hinggakan ungkapan ‘bodoh macam lembu’ ditukar kepada ‘bodoh macam menteri’.

“Namun itulah realiti hari ini. Majoriti rakyat khususnya netizen tidak akan begitu sikapnya jika PH mengemudi negara lebih baik berbanding BN. Tapi siapa yang tidak kecewa dan marah sekiranya ditipu berkali-kali serta memberi alasan dangkal bagi setiap janji yang dimungkiri,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Suraya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, walaupun baru setahun mengemudi pentadbiran negara, namun rakyat sudah terlalu kecewa.

“”Manifesto bukan kitab suci, ICERD, kepentingan Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan dan hak bangsa Melayu, puluhan ribu hilang pekerjaan, campur tangan pihak tertentu dalam Tabung Haji, pembohongan berkaitan Felda, ekonomi negara merudum, matawang negara semakin merosot, kos sara hidup meningkat, harga barang melambung, apa lagi? Semua ini menyebabkan rakyat kecewa.

“Sangat lucu bila kita ingat kembali kisah kasut dan sarung kaki hitam, sijil palsu dan beli sijil, ‘tisu’ terkoyak, menoreh di musim tengkujuh, nelayan tanam nenas di belakang rumah, minum minyak sawit, ‘rebranding’ segala produk BN, tanam padi di waktu malam, ‘U-turn’ dan ‘O-turn’, serta banyak lagi isu-isu dan insiden yang menjadi bahan jenaka rakyat. Ini semua tidak terjadi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Paling meresahkan, PPBM yang diharapkan akan menjaga kepentingan agama Islam, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan bumiputera, seolah-olah berada di bawah tapak kaki Dap. Kasihan sungguh melihat Perdana Menteri ‘sementara’ yang terlalu emas usianya bagai diperkotak-katik dan dipermainkan oleh Dap, PKR dan Pan. Namun apakan daya, itu pilihannya…,” luah beliau.

Hakikatnya tegas Suraya, majoriti rakyat kini semakin tertekan. Ramai yang menyesal tersalah pilih, menggetap bibir menahan kecewa, lain yang diharap, lain pula jadinya.

“Kocek rakyat semakin ‘bocor’, dapur semakin ‘semput tidak berasap’, anak muda semakin meluap resah, yang ketawa hanya Dap berdekah-dekah.

“…namun ada hikmah perancangan Allah buat bumi Malaysia ini, kerana itu diinsafkan UMNO dan dilunakkan PAS supaya umat Islam di seluruh negara kembali menyatu membentuk perpaduan untuk menyelamatkan negara sekaligus membina kembali sebuah negara bangsa yang lebih baik dan diredhai Allah.

“Sekarang ini, menanti sepenggal ibarat berpuluh tahun lamanya, semakin bimbang tentang onar yang bakal dibawa PH dalam pentadbiran negara. Kini rakyat hanya mampu berdoa mengharap agar PH tidak terus merosakkan negara. Demi rakyat, bermula penggal depan, ayuh kita doakan semoga Allah kembalikan Malaysia ke pangkuan hambaNya yang diredhai,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.