Wang 1MDB: Kerajaan PH Pilih Dapatkan Semula Dana Dengan Nilai Lebih Kecil – Najib

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memilih untuk mendapat balik dana dari Amerika Syarikat berhubung dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan nilai yang jauh lebih kecil berbanding cara penyelesaian oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menurut Najib, Peguam Negara telah memaklumkan AS$322 juta (RM1.3 bilion) sudah diterima daripada jumlah aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.05 bilion) yang sedang dituntut oleh Jabatan Kehakiman Masyarakat Amerika Syarikat (DoJ).

Jelasnya lagi, tuntutan AS$1.7 bilion tersebut melalui aset yang dibeli cuma sebahagian dari nilai AS$4.5 bilion (RM18.66 bilion) yang disyaki telah dipindah dari 1MDB dan belum diterima kembali.

“Perlu ingat bahawa semua AS$4.5 bilion yang disebut oleh Peguam Negara (dan bukan RM42 bilion dicuri) ini adalah dana yang didakwa hilang selepas dipindah kepada dan dijamin oleh syarikat IPIC milik kerajaan Abu Dhabi. Ini jelas menunjukkan perbezaan cara penyelesaian kerajaan BN dengan kerajaan PH.

“Kerajaan PH hanya mahu menuntut AS$1.7 bilion ini melalui DoJ, Amerika Syarikat manakala kerajaan BN mahu menuntut balik semua AS$4.5 bilion yang didakwa hilang setelah dipindah kepada IPIC atau dijamin oleh mereka. Kita tuntut daripada pihak yang kita pindah kepada, bukan daripada aset yang dibeli oleh pihak-pihak tertentu selepas dana dipindah,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya semalam.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah, kerajaan BN dahulu menandatangani perjanjian penyelesaian pada bulan April 2017 di mana syarikat IPIC milik kerajaan Abu Dhabi diberi masa sehingga 31 Disember 2020 untuk membayar balik semua wang yang didakwa hilang.

Namun begitu, selepas mengambil alih, kerajaan PH telah membatalkan perjanjian penyelesaian dengan IPIC tersebut.

“Sejak itu, kerajaan PH juga tidak memaklumkan apa status terbaharu tentang pembatalan ini, kita juga tidak dimaklumkan jika kerajaan PH telah meneruskan sebarang rundingan dengan syarikat IPIC atau kerajaan Abu Dhabi tentang isu ini.

“Cara penyelesaian kita mampu mendapat balik semua wang yang dihilang. Namun kerajaan PH tidak mahu meneruskan cara itu tetapi memilih untuk mendapat balik nilai dana yang jauh lebih kecil dan dengan cara berperingkat pada semasa ke semasa daripada pihak ketiga iaitu kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.

Tambah Najib lagi, menjadi hasratnya bahawa setiap sen daripada dana 1MDB yang didakwa hilang akan dikembalikan.

“Oleh itu, saya pilih perjanjian penyelesaian yang menyeluruh dengan pihak penerima dana, bukan melalui aset yang dibeli selepas dana dipindahkan.

“Perlu juga ingat bahawa kerajaan PH telah mengaku bahawa projek-projek 1MDB seperti Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dan projek TRX bernilai RM40 bilion adalah sangat menguntungkan dan telah diteruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.