Lebih Baik Tingkatkan FDI Dari Suruh Petani Kerja Waktu Malam – Norliza


GEORGE TOWN, 8 Mei – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mempertikaikan cadangan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kerangka kerja dari siang ke waktu malam.

Jelasnya, cadangan yang diberikan adalah mengarut dan tidak masuk akal apabila petani bekerja pada waktu malam dan tidur pada waktu siang.

“Ini tidak pernah dibuat oleh kerajaan terdahulu, jadi janganlah berikan kenyataan yang tidak masuk akal dan berikanlah cadangan yang logik dan bernas.

“Kalau mengikut lumrah alam, siang adalah waktu bekerja dan malam adalah waktu berehat dari segi ‘medical terms’ badan kita adalah untuk berehat. Saya rasa Tun Mahathir ini agak melalut dan nyanyuk sikit… sebabnya tidak pernah dibuat orang, negara luar pun tidak menyuruh rakyatnya kerja waktu malam.

“Tanam padi waktu malam …sebenarnya petani-petani merungut bukan kerana bekerja waktu malam, petani mengharapkan kerajaan menstabilkan harga padi, getah dan sawit yang turun secara mendadak ia cukup memberi kesan mendalam terhadap petani-petani,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sewajarnya Tun Mahathir harus memikir dan mempertingkatkan komoditi harga pasaran dunia bukannya memaksa petani bekerja diwaktu malam, kerajaan harus memikir bagaimana hendak mempertingkat ‘Foreign Direct Investment’ (pelaburan asing – FDI).

“Sepatutnya kerajaan harus mempertingkatkan produk Malaysia ke luar negara dan bukannya membuat cadangan yang ‘kurang akal’.

“Sebenarnya jika petani bekerja di waktu malam kosnya terlalu tinggi dan ia melibatkan peralatan lampu, generator dan sebagainya, keselamatan petani yang bekerja di waktu malam lagi bahaya dari berkerja pada waktu siang, tegasnya lagi. – MediaUMNO