Jangan Lupa Jasa UMNO, Terlalu Banyak Bantu Rakyat Dan Orang Melayu – Veteran

 

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Rakyat khususnya orang-orang Melayu jangan lupa kepada UMNO yang terlalu banyak berjasa apatah lagi lebih 60 tahun parti ini menjadi tonggak dalam kerajaan, kata Pengerusi Veteren UMNO Mersing, Datuk Zainal Abidin Osman.

Katanya, UMNO adalah parti yang penuh dengan wadah perjuangan maka ia perlu dikembalikan semula dalam tampuk kuasa dan pemerintahan dengan kepercayaan dari rakyat.

“Dalam keadaan inilah patutnya lagi kita sayangkan UMNO kerana inilah perjuangan orang Melayu, parti yang menjaga kepentingan orang Melayu. Orang Melayu dapat banyak faedah daripada perjuangan UMNO.“

Katanya, pada 11 Mei ini genap usia UMNO 73 tahun iaitu hari yang amat penting kepada untuk diraikan apatah lagi UMNO diwujudkan di Istana Besar Johor.

“UMNO memberi perjuangan sedangkan parti-parti lain yang ada sekarang ini tidak sama seperti UMNO sebab UMNO adalah satu wadah perjuangan bagi orang Melayu, begitu banyak berjasa.

“Lebih 60 tahun sebagai kerajaan jadi perlulah perkukuhkan UMNO semula, dapatkan kepercayaan semula orang Melayu kepada UMNO dan juga bangsa-bangsa lain,“ katanya kepada UMNO-Online.

Beliau percaya, walaupun ada orang keluar dari UMNO tetapi UMNO diperingkat akar umbi tetap kukuh.

”Kita akan menjalankan kerja-kerja untuk memperkuatkan UMNO. Kita bawa ahli UMNO bersama-sama dengan yang lain untuk menangkis dakyah-dakyah pihak tertentu.

”Saya berharap sempena dengan ulang tahun UMNO marilah kita ramai-ramai, di semua peringkat sama ada di peringkat Persekutuan, negeri ataupun di bahagian dan cawangan kita, jangan lupa meraikan hari kelahiran UMNO yang penuh bersejarah ini.“

Dalam masa yang sama beliau mengingatkan ahli UMNO untuk terus mendekati anak muda.

”Jangan lupa untuk kita bersama-sama UMNO terutama anak-anak muda. Saya percaya dan yakin kalau ia betul dengan caranya… malah sekarang ini pun anak-anak muda dah mula kembali kepada kita… kita ada lagi empat tahun, kita kena jaga mereka, kena tambahkan bilangan mereka untuk meneruskan perjuangan. Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-73,“ katanya dengan penuh semangat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.