Suruh Rakyat Kerja Keras… Di Mana Satu Juta Peluang Pekerjaan?

BATU PAHAT, 6 Mei – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan rakyat bekerja keras dan jangan mengharap wang percuma.

“Memanglah rakyat mahu bekerja. Tapi mana pekerjaannya? Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan kalau memerintah.

“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Berbelas ribu pula rakyat kehilangan pekerjaan. Beberapa agensi ditutup dan projek seperti MRT3 dibatalkan.

“Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) hampir 22% graduan 2018 atau 54,103 siswazah adalah penganggur. Ramai yang bekerja sampai malam membawa teksi Grab. Mereka bukan mahu wang percuma. Mereka mahukan perkerjaan,” tegasnya dalam satu catatan di Facebooknya.

Justeru juga, tidak timbul mereka tidak mahu bekerja di siang hari yang panas apatah lagi mereka menjadi mangsa pembohongan janji PH untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pokoknya Tun Mahathir semakin membanyakkan musuh. Bukan sahaja istana, mufti, penjawat awam, graduan tetapi juga rakyat yang dibohongi termasuk pesawah yang dikatakan malas bekerja di sang hari.

“Tapi tidak tahulah kalau perdana menteri sendiri mahu bekerja di waktu malam dan boleh berehat tidur di waktu siang. Tun Mahathir kata kerja siang amat ‘stress’ berbanding malam.

“Semoga dia tidak ‘stress’. Apatah lagi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin) bekerja siang dan malam,” sinisnya lagi.

Berhubung dengan kenyataan perdana menteri yang mahu pesawah menanam padi waktu malam, Dr Puad tegas berkata ia bukan sindiran walaupun terdapat segelintir pihak mengatakan sebegitu.

“Apakah selama ini pesawah padi, penoreh getah dan pekebun sawit merungut bekerja di siang hari? Mereka merungut bukan kerana panas terik tetapi kerana harga padi, sawit dan getah yang semakin jatuh. Apa kerajaan PH buat?

“Takkan mereka nak ikut cakap menteri-menteri PH yang ‘bungol’ kerana suruh tanam buluh, tanam ganja dan minum biji kelapa sawit,” katanya.

Begitu juga perbandingan bermain golf di waktu malam kerana mereka ada pilihan dengan disediakan kemudahan, tambahan pula golongan ini mempunyai pekerjaan dan berduit. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.