Pemimpin Dap Tutup Mulut, Jangan Fitnah Kerjasama UMNO Dan Pas


LANCHANG, 5 Mei – “Pemimpin Dap tutup mulut, jangan bercakap dan menuduh UMNO dan PAS dengan tuduhan yang tidak benar dan tidak betul,” ujar Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Jelas beliau, 61 tahun Barisan Nasional (BN) memimpin negara ini, ia jelas terbukti sangat adil tanpa ada diskriminasi kaum.

” Ya, betul… kita (UMNO) membela kepentingan Islam dan orang Melayu tapi agama lain turut terbela kerana kita faham negara ini berbilang kaum, lanskap politik berbeza, sebab itu tempoh 61 tahun kita memerintah kita sangat adil.

“Saya boleh akui, PAS memerintah Kelantan juga adil. kegiatan ekonomi tidak disekat.. keagamaan bangsa lain tidak pernah disekat maka ini bukti apa yang dicakap oleh Dap tidak benar tapi mengapa mereka bercakap begitu? Sebab mereka takut kerana mereka tahu sejarah.

“Pilihan raya 1974, setelah PAS bersama UMNO dalam BN kali pertama, itulah kali pertama PAS bertanding menggunakan lambang dacing… ini sejarah. Dalam pilihan raya itu kita menang besar walaupun sebelum itu Dap memang besar… sebab itu mereka takut perkara sama berulang,” tegas beliau ketika berucap dalam ceramah perdana penyatuan ummah di markas PAS Darul Ansar, Lanchang malam tadi.

Tambah Shamsul, walaupun sejarah hubungan UMNO dan PAS cukup panjang, namun matlamat kedua-dua parti ini adalah sama.

“UMNO dan PAS lahir sebelum merdeka dan ini berbeza dengan parti-parti lain yang lahir selepas merdeka. Sebab itu mereka nak bawa Malaysia baru sebab mereka tidak kenal Malaysia sebelum merdeka yang diasaskan kita bersama.

“Memang mencatat sejarah bila UMNO kalah kali pertama pada PRU-14 lalu namun Allah bagi pengajaran yang begitu besar. Alhamdulillah, Allah anugerahkan hakikat sebenar kerajaan hari ini sebenarnya diperintah dan dikuasai oleh Dap. Dap lah yang menguasai dan menyusun atur perjalanan negara pada hari ini. Sebab itulah banyak perkara berkaitan dengan kepentingan orang Melayu dan bumiputera satu demi satu diganggu.

“Saya ada terbaca tadi kenyataan pemimpin Dap kononnya Dap tidak memusuhi Islam tapi saya tidak percaya sebab tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Dap jelas memusuhi Islam… sebab itu keluar dari mulut Ahli Parlimen Teluk Intan bila UMNO dan PAS bersepakat sama macam Taliban. Ada pula pemimpin lain mereka katakan kerjasama ini merupakan satu pengistiharan perang kepada agama lain. Ini satu tohmahan, tidak betul,” bidas beliau.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak yakin dan percaya bahawa kerjasama UMNO dan PAS ini akan memberi kebaikan kepada rakyat negara ini termasuk agama lain. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.