Orang Yang Pertikai Kerjasama UMNO Dan PAS ‘Benak’

LANCHANG, 5 Mei – Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tidak perlu mempertikai atau berasa gusar kerjasama yang terjalin antara UMNO dan PAS kerana ia tidak menggugat mana-mana kaum.

Jelas beliau, mereka yang memburukkan permuafakatan ini sebenarnya ‘benak’ dan hanya takut pada bayang-bayang sendiri.

“Orang tanya saya, dulu gaduh dengan UMNO tapi sekarang nak berkawan pula. Saya jawab senang saja… dulu dengan Dap yang tidak sembayang Isyak pun kita boleh berkawan jadi takkan dengan orang yang puasa solat sama dengan kita, kita tidak boleh berkawan.

“Agama Islam mengajar agar jangan menyakiti orang bukan Islam dan hormatilah Tuhan mereka, kerana itulah selama ini semua kaum bebas untuk mencari rezeki di negara ini tanpa ada sebarang sekatan.

“Dalam kampung Melayu contohnya, orang Cina dari kedai satu pintu sampai boleh buka kedai tiga pintu… ini toleransi yang diajar oleh Islam yang membolehkan kita hidup harmoni dengan kaum-kaum lain. Inilah perkara yang kita titik-beratkan tapi mereka cuba buat tuduhan macam-macam,” ujar beliau ketika berucap dalam ceramah perdana penyatuan ummah di Lanchang malam tadi.

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Dap yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS seperti mengisytihar perang kepada kaum lain adalah satu kenyataan yang biadap, bersifat batu api dan penghasut.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Lim Guang Eng ini boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam negara ini.

“Ngo Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping) pula cakap kerjasama ini macam Taliban… dia faham ke tidak apa itu Taliban? Kalau macam Taliban, engkau pun tidak boleh hiduplah dalam negara ini tau! Pemimpin Dap ini macam anak murid benak… orang ajar lain dia faham lain,” bidas beliau.

Beliau mengambil contoh pemerintahan Pas di Kelantan, walaupun kaum bukan Islam tidak sampai 10 peratus di negeri tersebut namun kebebasan beragama sangat terserlah.

“Tengok di Kelantan, bukan setakat patung besar berdiri, tidur pun ada. Sebab apa? Sebab kita pegang pada ajaran agama.

“Islam ajar jangan hina Tuhan orang lain nanti orang hina Tuhan kita..,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.