Propaganda PH Hutang Negara ‘1 Trilion’ Akhirnya Makan Diri – Shamsul Anuar

 

JASIN, 4 April – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa hutang negara yang begitu tinggi oleh kerajaan sebelum ini sehingga mereka menubuhkan Tabung Harapan hanyalah sekadar propaganda semata-mata.

Menurut beliau apabila mereka melancarkan tabung terbabit, sebenarnya bukan jumlah kutipan yang disasarkan sebaliknya bertujuan untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan lalu yang kononya mewariskan kerajaan baru hari ini dengan hutang yang banyak dan kononnya dicanang hampir satu trilion.

“Mereka sebutkan negara kita cukup teruk… apa dia kata… hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah satu trilion… dalam Dewan Rakyat berkali-kali kita sebutkan mana hutang negara satu trilion.

“Hutang Malaysia ini hanya RM686.8 bilion sahaja… mereka mahu gambarkan hutang negara ini satu trilion maka mereka lancarkan Tabung Harapan. Mereka bukan sasarkan jumlah kutipan dan mereka pun tahu tidak akan dapat banyak… tetapi apa yang mereka mahu adalah lakukan propaganda supaya gambaran di kalangan rakyat kononnya negara ini penuh dengan hutang,” bidasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Penyatuan Ummah, di Kompleks PAS Jasin, di sini Jumaat malam.

Turut berceramah Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua Penerangan PAS Melaka, Jaafar Osman.

Dr Shamsul seterusnya menambah sebenarnya berdasarkan rekod hutang negara sepertimana yang disebutkan iaitu RM686.8 biliion sahaja namun tidak sampai setahun kerajaan PH memerintah ianya telah meningkat.

“Rekod pada 15 April 2019, hutang kerajaan yang telah dibuat oleh kerajaan PH, daripada RM686.8 bilion telah meningkat kepada RM785.2 bilion… tidak sampai setahun telah meningkat kepada RM98.4 bilion tambahan hutang negara… itu tidak sampai setahun. Itu belum lagi dikira yang diambil daripada Petronas,” ujarnya.

Katanya apa yang berlaku itu menunjukkan kegagalan kerajaan PH menguruskan ekonomi negara serta kegagalan berkenaan menyebabkan kesannya akan dihadapi oleh rakyat dan negara.

Tambahnya lagi mereka sebenarnya tahu hutang sebenar adalah RM686.8 bilion dan semua pihak boleh semak dalam dokumen penting seperti di Bank Negara.

“Apa kesannya akibat propaganda mereka itu… kesannya sangat dahsyat apabila berlaku ketidakyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara… orang tidak yakin dan sebab itu tidak ada pelaburan dibawa masuk ke negara ini. Orang tidak yakin sebab sebelum ini kata negara nak bankrap dan sebagainya lagi.

“Bukan itu sahaja… berlaku pengaliran keluar pelabur yang melabur di dalam negara ini membawa keluar duit lebih daripada 157 bilion…ini bukan sedikit… ini berlaku kerana mereka tidak yakin dengan kerajaan hari ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain beliau sekali lagi mengulangi komitmen dan juga memberi keyakinan kepada masyarakat bukan Islam dan Melayu bahawa penyatuan ummah akan memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

“Jangan bimbang dan jangan risau… yakinlah muafakat dua parti terbesar ini merupakan ramuan terbaik untuk negara dan sama sekali tidak akan memingirkan kaum lain. Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha ini berjalan lancar demi kepentingan dan kebaikan bersama iaitu rakyat dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata apa yang berlaku hari ini telah memperlihatkan segala-galanya tentang kerajaan baru yang mengambil-alih kepimpinan negara.

“Kalau kita tunggu lama lagi saya tidak tahu apa yang berlaku, sebab itu pimpinan PAS dan UMNO mahu tidak mahu perlu ke depan dan kita sedar silap dan salah sebelum ini. Pecah dan perintah tidak akan ke mana.

“Dan pada 5 Mac lepas PAS dan UMNO duduk bermuhasabah dan cari muafakat di mana perlunya kedua-dua parti menjadi teras kepada penyatuan bangsa Malaysia. Melayu berpecah bangsa Malaysia pecah… kalau bersatu maka bersatulah bangsa Malaysia,” ujarnya.

Ujarnya lagi Ramadan ini akan membawa semangat penyatuan ummah yang mana akan terus diperkasakan menerusi beberapa langkah yang akan disusun kelak. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.