Kalau TMJ Tidak Dedahkan, Kita Tidak Tahu Raja-Raja Ditipu – Asyraf


KUALA LUMPUR, 4 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Tommy Thomas dilucutkan jawatan sebagai Peguam Negara kerana membiarkan Raja-Raja Melayu dihina.

Asyraf Wajdi menegaskan, Tommy Thomas tidak berbuat apa-apa ketika beberapa panel sebuah forum di Universiti Malaya yang turut dihadirinya menghina institusi Raja tanpa segan-silu.

“Terbaru Raja-Raja kita hari ini dihina, dalam Perlembagaan, institusi Raja kita pertahankan untuk apa? Kerana institusi Raja adalah institusi yang memelihara martabat dan kesucian Islam.

“Minggu lepas di Universiti Malaya, mereka melabelkan institusi Raja-Raja Melayu sebagai perompak. Siapa ada dalam panel tersebut? Dalam panel itu tersebut termasuklah Tommy Thomas.

“Kita mesti tuntut Tommy Thomas kena letak jawatan, beliau tidak layak menjadi peguam negara, beliau telah membiarkan Raja-Raja Melayu dihina,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya; Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii dan Pengarah Himpunan 405, Kamaruzaman Mohamad.

Pada 27 April lalu, suasana di Auditorium Tun Mohamed Suffian, UM di sini menjadi tegang seketika pada sesi soal jawab forum apabila ahli politik veteran, Syed Husin Ali mendakwa golongan Raja-Raja Melayu telah merompak wang rakyat.

Ucapan bekas Timbalan Presiden PKR itu mendapat tepukan dan sorakan daripada para hadirin yang seolah-olah bersetuju dengan dakwaan tersebut.

Asyraf Wajdi juga berkata, jika Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim tidak mendedahkan bahawa Majlis Raja-Raja telah ditipu oleh Tommy Thomas berkenaan Statut Rom, sudah tentu rakyat tidak mengetahui perkara sebenar.

“Kalau tidak kerana Tengku Mahkota Johor, sudah tentu kita tak tahu bahawa hakikatnya Majlis Raja-Raja ditipu oleh Tommy Thomas, betul atau tidak.

“Ini adalah permulaan untuk kita berhimpun, malah jauh lebih besar lagi, kita akan berhimpun, kita akan datang dengan lebih besar.

“Malah lebih ramai akan menyatakan bahawa rakyat mahukan Perlembagaan kita dipertahankan, Islam dipertahankan, keistimewaan Islam, Melayu dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.