Ambil Semangat 11 Mei Untuk Rapatkan Saf Dalam Menuju PRU-15


SEKIJANG, 3 Mei – Naib Ketua UMNO Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, pengalaman UMNO menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama 60 tahun, menjadikan parti ini matang dan tahu perkara yang perlu diutamakan dalam membela nasib rakyat.

Jelas beliau, kerana itulah UMNO kini dilihat semakin sebati dalam menjiwai ‘mood’ sebagai pembangkang selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu dan walaupun luka masih terkesan namun ia tidak mematahkan semangat pemimpin serta ahli parti keramat ini untuk terus mempertahankan perjuangan UMNO.

“11 Mei ini kita bakal menyambut ulang tahun UMNO ke-73 maka ambillah semangat dan roh perjuangan ini untuk kita terus rapatkan saf dalam menuju PRU-15.

“Apatahlagi, perjuangan UMNO semakin diterima sejak kita menjalinkan kerjasama dengan PAS atas dasar perjuangan membela Islam dan Melayu.

“Malah rakyat juga kini melihat UMNO menjadi parti yang ke hadapan membela isu-isu berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertahankan hak-hak orang Melayu tanpa meminggirkan agama lain,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Anuar, menjadi pembangkang tidak bermakna UMNO harus berhenti membela nasib rakyat dan kerana itulah blok pembangkang kini jauh berbeza dengan blok pembangkang dahulu yang hanya pandai berpolitik kosong.

“Kita menjadi pembangkang yang bijak, menjadi semak dan imbang kepada kerajaan sekarang. Sebab itu walaupun UMNO sudah menjadi pembangkang tetapi cara UMNO masih dilihat seperti masih menjadi ‘kerajaan’ dan ‘kerajaan’ sekarang pula masih dilihat sebagai pembangkang.

“Maka, gunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin untuk kita terus membuktikan kepada rakyat bahawa mereka telah tersilap pangkah pada PRU-14 yang lalu,” ulas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.