PH Sengaja Mahu Jatuhkan Imej UMNO Sabah, Bidas Ghazalie

KOTA KINABALU, 2 Mei – Pengarah Komunikasi Dan Strategik UMNO Sabah, Ghazalie Ansing menimbulkan persoalan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) apakah maksud mereka menggunakan kes yang telah lama ditutup dan tidak mempunyai asas kembali dibuka.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Ghazalie yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan semalam berkata, setelah mendapat keizinan dari Peguam Negara, Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta isteri, Zizie Izette A Samad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di ibu negara pada Jumaat ini atas tuduhan berkaitan rasuah.

“Tindakan kerajaan PH yang cuba mencalar imej Datuk Seri Bung Moktar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dengan menggunakan SPRM sebagai senjata amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan PH telah mengambil tindakan hina dengan cuba mencalar imej UMNO Sabah khasnya Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

“Selaku Pengarah Komunikasi dan Strategi UMNO Sabah, saya menyeru 500,000 ahli UMNO Sabah untuk memberikan sokongan penuh dan bersolidariti bersama Datuk Seri Pengerusi UMNO Sabah,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, umum mengetahui kerajaan PH kini amat rapuh dan semakin kehilangan sokongan dari rakyat.

“Rakyat Sabah telah mula menyokong semula perjuangan UMNO Sabah di dalam agenda perjuangan anak negeri dan hak-hak negeri Sabah.

“Dan kini pihak PH sedar bahawa kehadiran UMNO di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan dalam menyokong calon PBS membawa kesan yang besar dan mampu menumbangkan PH di dalam PRK Sandakan,” katanya.

Kerana itulah tegasnya juga, patah sayap bertongkatkan paruh namun para pendukung parti kini tidak akan sekali lompat meninggalkan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu memperlihatkan ramai wakil rakyat BN di negeri itu melompat parti kecuali beberapa nama sahaja disebabkan BN hilang kuasa di negeri tersebut dan juga di peringkat pusat. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.