PH Jangan Melampau Bermain Politik Persepsi & Kebencian, Hasut Rakyat Benci Institusi Raja-raja Melayu


SUBANG, 2 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menasihati kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar jangan melampau dalam berpolitik.

Tegasnya jika mahu bermain politik persepsi dan politik kebencian ada hadnya serta jangan terlebih batasan sehingga hilang rasa hormat pada institusi Raja-raja Melayu.

“Pada ‘barking dog’ pakatan, nasihat saya pada mereka ‘anjing salak bukit, bukit tak akan roboh’.

“Jawatan politik sebagai ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih empat hingga lima tahun sekali dan ianya adalah kuasa rakyat saya setuju, tapi jangan lupa rakyat boleh naikkan anda, rakyat juga boleh turunkan anda terutama pemimpin PH Johor, yang dilihat senantiasa menyerang Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan keputusan Istana Johor.

“Nak mengingatkan mereka TMJ adalah pewaris kesultanan Johor suatu hari nanti dan beliau tidak perlu pun untuk masuk politik mahupun bertanding dalam pilihan raya,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Armand berkata demikian ketika mengulas tentang isu yang panas kebelakangan ini iaitu serangan terhadap TMJ, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim oleh kepimpinan dan penyokong PH yang dilihatnya sebahagian gerakan tangan-tangan ajaib untuk mengaibkan institisi Raja-raja Melayu.

“Hebat permainan politik Dap bila kerja Dap kini dibuat oleh pemimpin PH Melayu tanpa disedari ianya satu tamparan permulaan untuk mengubah kepercayaan rakyat pada institusi Raja-raja Melayu dalam negara.

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh dikatakan pimpinan PH bertepuk apabila TMJ dan beberapa Sultan menegur pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sehinggakan mohon institusi Raja-raja mengambil tindakan cadangan untuk bubarkan Parlimen awal sebelum PRU14.

“Tapi kini bila sudah dapat kuasa di tangan mereka, bila pewaris tahta Kesultanan Johor iaitu TMJ memberikan pandangan serta pendapat terutama mengenai tindakan kerajaan PH menandatangani perjanjian Statut Rom, pihak kepimpinan PH dan penyokong PH mula menyerang tubuh badan TMJ sehingga mengeluarkan hinaan dan cacian pada TMJ,” tambah Ketua UMNO Bahagian Subang itu lagi.

Sehubungan itu, jelas Armand walaupun bukan anak Johor tetapi beliau konsisten dalam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

“Lebih saya sedih dan marah bila Permaisuri Johor mengeluarkan kenyataan secara terbuka di sosial media bila melihat apa yang berlaku terutama serangan pada anak beliau secara terbuka oleh Kepimpinan PH dan Penyokong PH.

“Saya Armand Azha Haji Abu Hanifah, walaupun seorang anak kelahiran Perak, berjanji akan berdiri teguh mempertahankan TMJ dalam isu Statut Rom dan kepentingan institusi Raja-raja Melayu.

“Saya mohon rakyat seluruh negara untuk kita turun pada 4 Mei ini sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran kerajaan PH,” gesanya juga. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.