PEMBELA, Inisiatif Pemuda Bela Pekebun Kecil Dan Peneroka Felda – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda UMNO akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diberi nama Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (PEMBELA) dan diketuai oleh Ketua Penerangannya, Mohd Shahar Abdullah.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia sepakat dan mengambil tanggungjawab sebagai suara kepada peneroka dan pekebun-pekebun kecil bagi memastikan nasib mereka terbela serta didengari oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Senario pekebun-pekebun kecil dan peneroka-peneroka sekarang ini cukup merisaukan dan meresahkan kerana mereka berhadapan keperitan hidup yang semakin sukar apabila kerajaan PH memerintah.

“Ini jauh berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dahulunya mempunyai mekanisme dan fleksibiliti menjaga kebajikan, kehidupan pekebun kecil dan peneroka terpelihara.

“Keperluan asas pekebun kecil dan peneroka harus diambil kira kerana ia melibatkan 112,635 buah keluarga peneroka dan 650,000 pekebun kecil, ini bukan satu jumlah yang kecil,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Dr Asyraf menambah sebagai contoh, pekebun dan peneroka di Serting Hilir, Negeri Sembilan mengadu mereka terpaksa berhutang membuat pinjaman untuk menampung kehidupan harian akibat kejatuhan harga komoditi minyak kelapa sawit.

“Pemuda UMNO Malaysia sepakat akan menyantuni dan menyelami nasib-nasib peneroka dan pekebun kecil sehingga ke peringkat akar umbi dan Pemuda akan menggerakkan ke 54 kawasan yang mempunyai kawasan Felda.

“Kerajaan PH harus mendengar dan memahami denyut nadi rakyat di bawah ini. Inilah kami usahakan melalui Pembela ini,” ujarnya lagi

Dalam masa yang sama, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa Pemuda UMNO menyokong penuh dan akan menyertai Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan Negara yang akan diadakan pada Sabtu ini, kerana merasakan kerajaan PH seperti bermain wayang dalam isu Statut Rom.

Katanya, pihaknya akan mengerahkan seramai mungkin ahli-ahli Pemuda UMNO menyertai perhimpunan itu untuk turut sama menyatakan pendirian supaya kesucian Islam dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar.

“Peguam Negara, Tommy Thomas boleh terlibat (hadir) dalam forum yang mana ahli-ahli panel dikatakan meremehkan keputusan kerajaan itu.

“Ini seolah-oleh dibisukan oleh Peguam Negara yang berada dalam forum yang sama,”

Perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dijadualkan bermula di Masjid Jamek, di sini selepas Solat Zohor dan berarak sehingga di hadapan pusat beli-belah Sogo yang terletak berdekatan.

Pada 8 Disember lalu, perhimpunan seakan sama turut dianjurkan bagi membantah usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dihadiri jutaan rakyat.

Asyraf Wajdi juga sekali lagi mendesak agar Tommy meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara kerana merasakan beliau tidak layak memegang jawatan tersebut kerana didakwa gagal menasihati kerajaan dalam isu Statut Rom dan proses-proses yang diperlukan termasuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.- MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.