Masa Berbulan Madu PH Tamat, Yang Nampak Tumpang Asas Kejayaan BN


SHAH ALAM,  2 Mei – ‘Masa berbulan madu’ Pakatan Harapan (PH) boleh dikatakan tamat seminggu sahaja lagi apabila setelah genap setahun pemerintahan negara beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu.

Namun yang menjadi persoalan sejauh manakah masa berbulan madu itu digunakan sebaik mungkin terutama dalam melaksanakan segala yang ditawarkan khususnya segala janji yang dilontar sebelum ini untuk rakyat kononnya mereka jauh lebih baik daripada BN.

Mengulas senario ini, Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Aazhari Shaari mengakui serta turut berpandangan masa untuk ‘berbulan madu’ bagi PH sememangnya sudah tamat 9 Mei nanti dan jika dihitung genap setahun tampuk pemerintahan negara beralih daripada BN kepada PH.

“Di media sosial walaupun masih ada penyokong tegar dan cyber trooper PH melaungkan kejayaan mereka merampas pentadbiran BN namun percayalah dan akuilah bahawa segala asas dan tempiasnya bermula daripada Kerajaan Persekutuan sebelumnya.

“Dahulu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) digembar-gemburkan sebagai projek dummy untuk menutup isu 1MDB, tetapi kini projek itu diteruskan juga dengan pengurangan kos berbilion-bilion,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya percaya dan penuh yakin permainan politik yang menjengkelkan ini sudah menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat umum.

“Cuma saya ingin bertanya apakah masih tidak terasa ditipu hidup-hidup seolah-olah segala yang dilakukan PH hari ini semuanya ada justifikasi.

“Perlu diingatkan kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia, setiap projek yang dijalankan bukan dirancang setahun dua tetapi mengambil masa yang lama. Segala kos, pengambilan tanah dan perlaksanaan dibuat dengan teliti,” ujarnya.

Namun ujarnya lagi apabila BN melaksanakan projek tersebut fitnah seperti menjual negara kepada China kedengaran bingit, hingga rakyat memandang negatif kepada BN.

“Pembohongan ini jelas nyata yang mana akhirnya projek ECRL diteruskan dengan syarikat China. Rakyat semua, nilaikan sendiri kerajaan yang anda pilih.

“Segala kerosakan telah berlaku, hanya Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh mengembalikan BN yang melakukan segala yang terbaik untuk rakyat ke Putrajaya,” tambahnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.