Tunjuk Contoh Yang Baik Kepada Belia, Bukan Pamer Sikap Taksub Kepada Pemimpin

KUALA LUMPUR, 30 April – Presiden Mahasiswa Nasional Irfan Zamri berkata, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang muda dan bukannya bersikap tidak matang.

Jelas beliau, sikap Syed Saddiq yang mengamalkan kebebasan bersuara secara angkuh dan sombong bukanlah satu contoh yang baik untuk diikuti oleh anak muda bakal pemimpin negara.

“Kebelakangan ini, Syed Saddiq seolah-olah menjadi jurucakap kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Melihat kepada status yang dimuat naik di ‘facebook’nya, mahasiswa merasakan bahawa dia perlu menunjukkan sikap yang lebih matang.

“Sebagai seorang pemimpin yang memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq harus menunjukkan contoh yang baik kepada belia di luar sana. Mahasiswa ingin melihat seorang pemimpin muda yang mempunyai adab, ilmu, dan sifat kepimpinan yang baik.

“Pertelagahan di antara Syed Saddiq dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) harus dihentikan kerana ini menunjukkan sikap kepimpinannya yang tidak matang. Syed Saddiq seolah-olah terlalu obses dengan Tun Mahathir sehinggakan dia tidak boleh menerima sebarang kritikan dari pihak lain,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Irfan, mahasiswa akur bahawa konsep Malaysia baharu yang cuba diketengahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah ‘kebebasan bersuara’ namun begitu, kebebasan bersuara itu tidak perlu disulami dengan keangkuhan dan kesombongan atas dasar kuasa dan peribadi.

“Sebagai menteri, dia patut sedar bahawa kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua dalam Rukun Negara yang harus difahami dan dihayati oleh setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Jika ada perselisihan faham di antara Syed Saddiq dan TMJ, lebih cantik sekiranya diselesaikan secara aman. Tidak perlu membuat kenyataan yang tidak bermoral seperti yang dimuatnaik di ‘facebook’nya. Mahasiswa tidak mahu melihat keghairahan seorang pemimpin Islam berpolitik sehingga melupakan asas-asas moral.

“Mandat yang diberikan rakyat bukanlah tiket untuk beliau menjadi sombong sebaliknya beliau harus lebih gigih melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam konsep kepemimpinan Islam, seseorang yang dilantik menjadi pemimpin haruslah mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang baik, dipercayai dan sentiasa menunjukkan perwatakan baik sebagai contoh kepada orang bawahan dan rakyatnya, katanya lagi.

Justeru Irfan menyarankan agar Syed Saddiq menunjukkan contoh yang baik kepada golongan muda apatah lagi dirinya adalah menteri termuda dalam sejarah malah dia adalah ikon kepada belia di luar sana maka sewajarnya Syed Saddiq menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak muda.

“Dia juga harus berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana setiap butir yang ditulis mahupun ditutur sentiasa diperhatikan oleh golongan muda.

“Lebih malang sekiranya pembawakan buruk ini akan menjadi ikutan anak muda pada masa akan datang.

“Saya cukup yakin bahawa Syed Saddiq seorang yang berilmu dan berakhlak tinggi maka jangan terlalu taksub dengan pemimpin sehingga melanggar batas moral dan prinsip rukunegara,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.