Mansuh Skim Mesra Usia Emas Khairat Kematian, MB Selangor Dibidas

SABAK BERNAM, 29 April – Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkaitan penarikan Skim Mesra Usia Emas Khairat Kematian Sebanyak RM 2,500.

Jelas beliau, kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering mendabik dada kononnya sebagai sebuah negeri yang menjana pendapatan tinggi untuk negara dan tidak mengabaikan kebajikan rakyat Selangor, namun sayangnya tindakan yang dilakukan sedikitpun tidak menggambarkan sedemikian rupa.

“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Selangor tentang penarikan skim ini dan ia digantikan dengan pemberian baucar Jom Shopping bernilai RM 100 setahun. Ini amat mendukacitakan.

“Tindakan kerajaan negeri ini menggambarkan seakan mereka lupa kebajikan rakyat yang harus mereka jaga dan bantu. Kebajikan rakyat yang memberi undi dan kemenangan kepada mereka.

“Seharusnya kerajaan negeri Selangor mengekalkan skim bantuan untuk rakyat seperti sebelum ini malah menambah baik lagi skim-skim yang ada untuk kebajikan rakyat memandangkan mandat rakyat yang diberikan sangat tinggi serta memikirkan perkara-perkara yang dapat menjana pendapatan kerajaan negeri ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar itu turut bersama memperjuangkan kebajikan serta kepentingan rakyat.

“Kepada rakyat Selangor, di saat masalah ekonomi yang merosot, kos sara hidup yang tinggi dan tekanan hidup yang semakin tinggi saya mohon anda semua tetap kekal bersemangat dan ada usaha fikir untuk meneruskan kehidupan.

“Di saat segala kebajikan yang selama ini kita nikmati kini sedikit demi sedikit ditarik kenikmatannya maka saya tetap akan memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Tambah Rizam, kerajaan negeri harus sedar, jika rakyat mampu menjatuhkan kerajaan yang berusia 60 tahun sebelum ini maka tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan yang ada hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 256 juta bagi memberi wang RM 2,500 kepada 103,320 waris warga emas yang meninggal dunia sejak tahun 2008. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.