UMNO Tidak Boleh Hanya Bersandarkan Undi Protes Rakyat Semata-Mata – Shahrir

KUALA LUMPUR, 28 April – Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata UMNO tidak boleh hanya bersandarkan kepada undi protest rakyat yang kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau parti juga harus berwibawa membawa cadangan munasabah bagi mengatasi masalah rakyat dan bagi Pemuda UMNO pula ia seharusnya tertumpu kepada masalah dan kepentingan generasi muda di negara ini.

Berkongsi catatannya di facebook, beliau menambah kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuklah Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Rantau juga membuktikan kelemahan pemimpin-pemimpin muda PH utk menarik sokongan pengundi-pengundi muda walaupun mereka berjawatan menteri dan wakil rakyat.

“Keadaan hari ini jelas dari hasil bancian Merdeka Centre yang menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan PH pada akhir suku pertama 2019 telah merudum ke paras 39%. Hanya PM PH yg mendapat kepercayaan lebih tinggi dari itu, itupun pada tahap 46%.” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut berkongsi pandangan yang dilontarkan kepada peserta pemukiman Pemuda UMNO Johor sebelum ini.

“Lima naskah saya bawa sekali ke Desaru untuk saya hadiahkan pula kepada Pemuda UMNO Johor supaya pemimpin-pemimpin muda Johor sentiasa terbuka kepada pandangan dan pemikiran yg berasaskan kepada fakta dan realiti ekonomi.

“Rupa-rupanya, Pemuda UMNO Johor lagi ke depan dari saya. Saya bawa buku JSEM je. Tapi mereka berjaya bawakan penulis-penulis rencana dalam buku itu untuk berdepan dalam sesi sebelum sesi saya. Hebat Pemuda UMNO Johor kerana lebih ke depan dari si-otai satu ni. Macam ni lah utk membuktikan bahawa generasi muda UMNO sentiasa di hadapan,” tambahnya.

Beliau turut menyarankan agar permukiman Pemuda UMNO Johor dapat mula melakarkan garisan suatu Manifesto Orang Muda supaya arus perdana politik negara terus dikuasai oleh Pemuda UMNO dan BN.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.