Lautan Pendukung Agenda Perpaduan Ummah Banjiri Padang MPK1, Penuh Komitmen


KUANTAN, 27 April – Lautan rakyat dengan tema berbaju putih membanjiri Padang MPK 1, di sini malam tadi bagi menunjukkan ekspresi bersatu hati mendukung agenda perpaduan ummah di negara ini.

Rakyat yang hadir dari pelbagai latar belakang agama, kaum dan parti mahupun dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama berkumpul menyatakan perlunya agenda rakyat bersatu padu demi kesejahteraan negara.

Jelas kehadiran Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan momentum yang amat positif serta sokongan daripada barisan kepimpinan kedua-dua parti menyemarakkan lagi program tersebut.

Sebelum majlis bermula, kepimpinan parti, muslimin serta muslimat yang hadir turut menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah bersebelahan dengan lokasi ceramah, kemudian diikuti solat sunat Hajat, mendengar tazkirah dari Pencetus Ummah (PU) Mizi dan solat Isyak.

Gandingan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dari UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu (PAS) selaku pengerusi majlis menceriakan suasana dengan kepetahan berbicara mengendalikan majlis.

Lebih sepuluh ribu pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang memenuhi setiap ruang padang berkenaan serta sekitarnya menjadikan kawasan tersebut sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah dan melihat secara dekat pemimpin mereka.

Menteri Besar Pahang, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku tuan rumah diberi penghormatan memulakan majlis dengan menyampaikan kata-kata aluan dan diikuti selepasnya Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar, juga ADUN Tanjung Lumpur.

Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat kemudiannya mengambil tempat serta diakhiri dengan ucapan dari Abdul Hadi.

Turut diadakan penyerahan resolusi dari rakyat yang dibawa oleh Pemuda UMNO dan PAS negeri Pahang yang kemudiannya dibacakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ab Hamid Nazahar.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa dari Abdul Hadi.

Apa yang pasti suasana dan lautan manusia yang membanjiri siri demi siri himpunan perpaduan ummah cukup menarik sebagai isyarat jelas bahawa majoriti rakyat kini amat mengharapkan negara berada di dalam keadaan aman damai demi kesejahteraan di masa-masa mendatang. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.