UMNO Sabah Makin Utuh, Positif Atasi ‘Trauma’… Akar Umbi Tekad Teruskan Perjuangan

SANDAKAN, 26 April – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, UMNO Sabah kini berjaya mengatasi ‘trauma’ kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kembali menguatkan akar umbinya disetiap bahagian dan cawangan.

Jelas beliau, selepas kekalahan UMNO pada 5 Mei lalu, tidak dinafikan sememangnya wujud cawangan yang ‘tidur’ namun kini hampir kesemua cawangan di Sabah semakin bersemangat demi mengambalikan parti keramat ini ke landasan yang terbaik.

“Walaupun ramai yang mengatakan UMNO Sabah sudah runtuh namun sebenarnya tidak. Akar umbi masih kuat dan masih sayangkan UMNO. Bagi akar umbi, yang pergi meninggalkan parti adalah pemimpinnya yang melompat atas tujuan peribadi namun bukan akar umbi yang selama ini menjadi tunjang keutuhan UMNO.

“Ini terbukti bila berlakunya lompat melompat, akar umbi masih setia. Kebetulan kita melakukan pemutihan, jadi mereka yang selama ini bertopengkan UMNO dengan sendirinya sudah pergi… ini membuktikan mereka selama ini bukan berjuang demi rakyat tetapi demi kepentingan peribadi.


“Oleh itu, kita kembali menyusun sayap-sayap UMNO dan kini hampir setahun berlalu, kita semakin nampak dengan jelas bahawa UMNO Sabah sudah semakin utuh. Walaupun masih ada kesan trauma namun kita mampu mengatasinya,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Beliau yang Ketua Bahagian UMNO Tenom turut berkata, tindakan kepimpinan parti memanjangkan tempoh mesyuarat cawangan juga sememangnya dialu-alukan kerana ia mampu memberi masa yang lebih panjang untuk setiap cawangan memberikan yang terbaik.

“Keputusan tersebut memberikan ruang untuk cawangan-cawangan UMNO tampil dengan idea yang lebih baik dalam memastikan UMNO mampu kembali ke landasan yang betul.

“Selain itu, cawangan-cawangan yang mungkin belum cukup bersedia juga akan mempunyai masa lebih lama dan kita sendiri akan dapat memastikan lebih banyak cawangan dapat menjalankan mesyuaratnya,” terang beliau.

Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus mesyuarat-mesyuarat tersebut.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.