Macam Mana Anwar Nak Tolak Jawatan Menteri Kewangan… PH Pun Tak Tawarkan Apa-apa…

KUALA LUMPUR, 26 April – Penganalisa Politik tempatan, Azizi Safar membidas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau akan menolak jawatan Menteri Kewangan sekiranya ditawarkan atas alasan kekangan ekonomi negara yang tidak menentu.

Jelas beliau, bagaimana Anwar mahu menolak sedangkan tawaran pun tidak dikemukakan dan Anwar perlu ingat bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mudah lupa tentang apa yang pernah Anwar lakukan semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.

“Ini bukan kali pertama Anwar mengeluarkan kenyataan tersebut tapi malangnya tiada siapapun pelawa atau tawarkan jawatan itu kepada dia. Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi pun tidak diberi malah langsung tidak dilantik sebagai anggota jadi mana mungkin akan ada tawaran sebagai Menteri Kewangan.

“Apa dia ingat Tun sudah lupa apa dia buat masa jadi Menteri Kewangan dulu? Apa dia buat sebagai Menteri Kewangan pada 1998 dulu semasa negara dilanda krisis ekonomi? Pada 1998 Anwar dipecat Tun dan digantikan dengan Tun Daim Zainuddin sebagai langkah pemulihan ekonomi negara.

“Kini selepas Tun kembali jadi Perdana Menteri, sekali lagi dia lantik Daim untuk bantu Kerajaan dalam pemulihan ekonomi negara malah Daim juga diberi tanggungjawab untuk ke China bagi berbincang semula terma projek ECRL walaupun ada Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

“Jadi, Anwar tidak perlu berangan akan ada tawaran sebagai Menteri Kewangan. Bukan apa… takut kecewa lagi. Jawatan Perdana Menteri pun sudah ‘berkulat’ menanti namun masih tidak nampak jalan ke arah itu. Azmin Ali (bekas SUSK semasa Anwar jadi Menteri Kewangan) pun sudah jadi Menteri dalam Kabinet Tun, jadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi pulak tu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Azizi, Anwar seharusnya sedar diri mengapa dia sehingga kini tidak diberi sebarang tugasan rasmi negara.

“Kenapa Anwar tidak diberi sebarang tugasan rasmi negara setakat ini? Sebab dia tidak layak di mata Tun… Anwar hanyalah graduan Pengajian Melayu, tak layak nak jaga ekonomi dan kewangan negara pun.

“Atau mungkin Anwar boleh cuba pujuk isterinya lepas dan serahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya,” sindir beliau lagi.

Dilaporkan, baru-baru ini Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengulangi pendirian bahawa beliau enggan menjadi Menteri Kewangan sekiranya pimpinan Pakatan Harapan (PH) menawarkan jawatan berkenaan kepadanya. Beliau dipetik berkata demikian pada pelancaran Tabung Bantuan Pelajar Antarabangsa Abusulayman di kampus UIAM, Rabu lalu. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.