Mana Perginya Duit Tabung Harapan… PH Perlu Buat Penjelasan

KUALA LUMPUR, 25 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah mempersoalkan di mana perginya kutipan wang Tabung Harapan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei yang lalu.

Jelas beliau, sebelum ini alasan yang diberikan bagi melancarkan tabung tersebut adalah sebagai wadah membantu rakyat dan negara serta menyelesaikan hutang negara yang di dakwa berjumlah lebih RM1 Trilion tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang penjelasan yang diberikan berkaitan tabung itu.

“Pada awal tahun lalu, jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia mencecah sebanyak RM202,716,775.10, namun sehingga kini tiada kenyataan rasmi dari Kementerian Kewangan tentang status terkini wang tersebut.

“Seharusnya pengurusan Tabung Harapan harus dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang akan memutuskan penggunaan wang ini mengikut tatacara yang termaktub dalam Arahan Amanah Akaun Tabung Harapan Malaysia (Trust Deed) perlu diwujudkan.

“Adakah wang tersebut telah diaudit dan dilakukan pembayaran terhadap hutang Negara… jika benar, mana buktinya?” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Hairi lagi, sewajarnya Kementerian Kewangan membuat tindakan dalam penyelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

Justeru, Menteri Kewangan dan Kerajaan Malaysia perlu menjawab perkara ini dan rakyat berhak tahu kerana wang tersebut adalah sumbangan dari rakyat.

“Apakah jaminan kerajaan ianya benar-benar digunakan untuk membayar hutang negara? Jangan lari, sila Jawab,” sindir beliau lagi. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.