Jual Aset Negara Memang Kepakaran Kerajaan PH, Bidas Najib


KUALA LUMPUR, 24 April – Jual aset negara memang kepakaran kerajaan Pakatan Harapan (PH), bidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Najib dalam hantaran di Facebooknya juga merasa hairan mengenai sikap PH yang dahulu sering menuduh negara dan syarikat di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah bankrap rupa-rupanya mempunyai banyak aset untuk dijual oleh mereka.

“Bukan sedikit pun. Kali ini giliran aset bernilai sebanyak RM4.13 bilion.

“Malaysia tidak ada tanah sesuai untuk membuka perladangan sawit yang besar.

“Lagipun, kos pengeluaran di Indonesia adalah lebih rendah berbanding Malaysia,” tegasnya.

Najib berkata demikian ketika merujuk laporan media perdana mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), FGV Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang sedang mengkaji untuk menjual sahamnya dalam Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich), yang memiliki ladang sawit di Kalimantan, pada harga sehingga AS$1 bilion (RM4.13 bilion).

Tetapi tambah Najib, jika PH masih mahu jual juga, itu hak dan dalam bidang kuasa mereka.

“Jual aset memang kepakaran kerajaan PH,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, sebelum ini Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), sebuah syarikat induk pelaburan milik kerajaan telah menjual kepentingan 16 peratus di dalam IHH Berhad, pengendali industri hospital kepada kumpulan Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion, yang membawa maksud Mitsui menjadi pemegang saham terbesar.

Begitu juga aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM 19.9 bilion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan serta penjualan aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Hotel Royale Chulan Bukit Bintang telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga yang agak rendah hanya RM197 juta walaupun hotel yang bertaraf empat bintang serta mempunyai 400 bilik itu berada di atas tanah hakmilik kekal dan terletak di kawasan tiga segi emas Kuala Lumpur.

Selain itu, PH turut menjual kepentingan tertentu di dalam CIMB, RM635 juta; kepentingan Khazanah dalam BDO UniBank RM360 juta; Infosys Limited RM284 juta dan Titan Industries Ltd kepentingan Khazanah dijual RM212 juta. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.