PH Batal Projek Kerana Cemburukan BN – Mohamad


SEREMBAN 23 April – Pakatan Harapan (PH) didakwa tersalah langkah apabila membatalkan projek-projek yang dirancang Barisan Nasional (BN) semata-mata kerana cemburu dengan usaha kerajaan terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PH mungkin telah menyedari kesilapan tersebut dan mengumumkan untuk meneruskan semula projek tersebut antaranya Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Merujuk kenyataan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Chennah) berhubung jajaran baharu ECRL yang akan membawa kebaikan kepada Negeri Sembilan, beliau berkata, sebelum ini projek itu dianggap membazir oleh PH sebelum menjadi kerajaan.

“Dulu dakwa pembaziran, (tuduh) kita hendak jual negara kepada China. Dulu projek itu 100 peratus milik Malaysia sekarang diberi kepada CCCC (China Communications Construction Company Ltd.).

“Berhentilah bercakap perkara yang boleh menyusahkan negara, memakan diri. Kita kata negara hendak muflis, akhirnya pelabur mana hendak datang ke negara yang akan muflis. Negara kita tak pernah muflis.

“Kerajaan salah langkah kerana terlalu cemburu dengan kerajaan terdahulu. Sekarang kita kena dari kedua-dua belah, orang tak mahu melabur dan rakyat pula susah,” katanya.

Mohamad berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, BN akan berperanan umpama ‘rakan kongsi’ kepada kerajaan PH di negeri ini demi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

“Kita adalah ‘partner’, sama-sama nak lihat bangunkan Negeri Sembilan. Buat sajalah, apa yang baik kita sokong dan tak baik kita tegur,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju kerajaan dari segi pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat memandangkan pentadbiran PH bakal memasuki usia setahun pada Mei ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.