Pemuda Johor Harap MB Baru Tunai Janji PH, Buktikan Manifesto Bukan Mitos


JOHOR BAHRU, 23 April – Pemuda UMNO Negeri Johor berharap Menteri Besar baharu negeri itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal dapat memulakan gerak kerja sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kerana rakyat mahu melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji-janji mereka terutamanya di Johor.

Ketua Pemudanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata cukup-cukuplahlah PH bersandiwara dan mulakanlah kerja bersama pasukan Exco termasuklah yang baru dilantik untuk kepentingan rakyat negeri berkenaan.

“Saya tertarik dengan kata-kata dari Ketua Armada Johor sebelum ini yang turut meminta seluruh rakyat negeri Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik agar kembali kepada titah Sultan Johor untuk kita sama-sama muafakat dan bersatu.

“Berhentilah bermain politik dan inilah masa untuk bekerja mengangkat maruah bangsa Johor yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Dr Sahruddin memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dengan memasuki pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, minggu lalu.

Mohd Hairi seterusnya menambah janji-janji mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu masih terngiang-ngiang apabila banyak memberikan pandangan tentang harga minyak, isu GST, isu rumah, isu hospital dan sebagainya.

“Apakah YB PH telah lakukan… janji manifesto PH pun dikatakan bukan seperti kitab suci yang perlu dituruti. Sekaranglah masanya PH Johor dan ‘kuncu-kuncunya’ membuktikan kepada rakyat apa yang dikatakan sewaktu manifesto itu adalah benar dan bukannya mitos,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.