Menegur Kerajaan PH Bukan Untuk Bermusuh, Tegur Untuk Rakyat – Tok Mat


KUALA LUMPUR, 23 April – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebarang teguran terhadap kerajaan negeri bukanlah untuk bermusuh malah hanya untuk sama-sama mencari kebaikan demi kepentingan negeri dan rakyat di negeri tersebut.

Menurut beliau pengakhiran nanti adalah perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan kerajaan negeri itu sendiri khususnya dalam usaha merealisasikan Negeri Sembilan yang membangun dan progresif.

“Kita bukannya nak membangkang sehingga mahu berdiri atas meja… itu bukan budaya yang akan saya bawa… ‘we are your partners’ untuk Negeri Sembilan yang membangun dan progresif dan itu yang kita mahu buat kerana kita sama-sama sayangkan Negeri Sembilan.

“Kita sama-sama mahu melihat Negeri Sembilan maju dan membangun. Itu sebabnya kita buat dasar pembangunan. Tadi YB Cenah kata ECRL akan bawa pembangunan ke Negeri Sembilan… itu kita dah buat dalam Rancangan 30 Tahun Dasar Pembangunan dan Pemodenan Negeri Sembilan… buat sajalah. Tadi saya dengar akan disambung masukkan Melaka dan Selangor dalam Malaysian Vison Valley. Buat elok-elok dan apa yang baik kita setuju dan apa yang tidak baik kita tegur”, katanya.

Jelas beliau menegur bukannya untuk bermusuh tetapi kerana mahu memastikan supaya ianya dibuat dengan sebaik yang mungkin kerana apa yang perlu di sini ialah pengakhir cerita adalah untuk rakyat.

“..dan itu yang kita mahu. Mudah-mudahan nanti rakyat akan mendapat kemudahan dan juga keselesaan.

“Yang pentingnya macam mana kita nak bermuafakat di dalam Dewan ini nanti supaya kita bersatu dan bersama-sama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Mohamad yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan baru-baru ini seterusnya menambah kerajaan negeri perlu bertindak sebagai bapa.

“Kita sebagai kerajaan kita adalah bapa… sebagai bapa tidak boleh kata ini bukan anak aku… itu bukan anak aku. Ada 11 orang adik-beradik semuanya mesti dibuat bersama-sama.

“Itu sebabnya apabila saya bertanding di Rantau tempoh hari, orang kata buat apa pilih Tok Mat Hasan… dia bukannya kerajaan tidak boleh buat apa-apa”, katanya.

Jelas beliau lagi kenyataan bahawa tempat yang dimenangi pembangkang tidak boleh dimajukan adalah satu kenyataan yang tidak betul.

“Kita tidak boleh kata sebagai kerajaan tempat pembangkang kita tidak boleh majukan. Kalau macam tu dulu kita tidak akan buat satu sen pun projek di Seremban kerana Seremban selama-lamanya ditangan pembangkang.

“Kita tidak pernah dan Seremban kita buat elok-elok. Kita tingkatkan prasarananya, pasar lama kita bangunkan dan macam-macam kita buat,” tambahnya.

Dalam ucapannya itu juga, Mohamad turut mencadangkan agar kerajaan negeri membantu mana-mana pihak yang sebelum ini dipotong daripada bantuan kebajikan oleh kerajaan pusat.

“Dalam masa kebelakangan ini didapati banyak bantuan-bantuan yang diberikan dahulu bantuan kebajikan masyarakat misalnya banyak dipotong. Ini merupakan orang-orang yang susah dan ini merupakan orang-orang yang perlu kita bantu.

“Walau macam manapun kita susah, dalam keadaan macam manapun negara atau negeri, bantuan kepada orang susah ini mesti kita pastikan disambung”, ujarnya

Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak dapat meneruskan bantuan ini, beliau mencadangkan kepada Menteri Besar pastikan orang yang pernah dapat bantuan kebajikan masyarakat ini dibantu melalui kerajaan negeri.

“Ini supaya mereka ini yang memang menunggu-nunggu dan hidup atas bantuan ini dapat meneruskan penghidupan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.