Ekonomi Makin Teruk, Minta Enam Bulan Lagi… PH Tidak Yakin Dapat Pulihkan Negara?


KUALA LUMPUR, 23 April – Exco Wanita UMNO, Hisham Suhaily Othman menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei tahun lalu.

Menurut beliau, semasa pemerintahaan kerajaan Barisan Nasional (BN), ekonomi negara semakin baik dan meningkat iaitu 4.5% pada suku kedua, manakala inflasi menurun kepada 1.3%, ini dapat dilihat lebihan akaun semasa mengecil kepada 1.2% daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2018.

“Saya tidak yakin dalam tempoh enam bulan kerajaan PH dapat memulihkan ekonomi negara sedangkan tempoh hampir setahun sebelum ini pun mereka telah banyak membuat kerosakan…‘nak membina memang susah, nak meruntuh hanya dengan sekelip mata’,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, sebelum PH mengambil alih kerajaan, negara menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan komitmen jangka panjang terhadap pengukuhan fiskal, ia juga menjadi impian dan idaman bagi setiap negara maju.

“Nasi sudah pun menjadi bubur… pelabur sudah hilang keyakinan apabila ekonomi negara semakin merudum dalam tempoh yang sangat singkat sedangkan untuk menarik mereka ke dalam negara memerlukan tempoh yang panjang.”

Hisham Suhaily yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi seterusnya menambah PH tidak mampu menggalas tanggungjawab menerajui negara kerana kurang berpengalaman dan tidak berkelayakan justeru keyakinan pelabur asing semakin hambar lantaran kegagalan kerajaan memperbaiki ekonomi negara.

“Dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin jatuh, akibatnya rakyat menjadi mangsa dan ramai kontraktor dan perniagaan terjejas, syarikat-syarikat terpaksa ‘gulung tikar’ dan menanggung kerugian sehingga terpaksa membuang pekerja.

“Tindakan Kerajaan PH menjual aset negara adalah satu tindakan yang tidak bijak sekaligus menampilkan kelemahan mereka dalam mentadbir dan memacu ekonomi negara.”

Tambahnya, seharusnya PH memberikan tumpuan dan usaha-usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi dengan strategi pengurusan yang berkesan, bukannya menjual aset-aset kerajaan yang diusahakan oleh BN sejak sekian lamanya.

“Ini bukti jelas dilihat bahawa kerajaan PH gagal dalam mengembalikan dan menstabilkan ekonomi negara.”

Terdahulu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dilapor berkata kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga kepada pelbagai isu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.