UMNO Tidak Bertanding Di PRK Sandakan – Timbalan Presiden


KUALA LUMPUR, 22 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan.

Ujar beliau yang juga menjalankan tugas-tugas presiden, ini memandangkan bahawa UMNO memang tidak pernah bertanding di kawasan tersebut dan sebelum ini ia diwakili oleh rakan komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Jadi UMNO mengambil keputusan tadi untuk tidak bertanding di sana dan Barisan Nasional akan membuat keputusan pada malam ini di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi Barisan Nasional.

“Mesyuarat akan memutuskan sama ada Barisan Nasional, rakan-rakan komponen kita berhasrat ataupun berminat untuk meletakkan calon di pilihan raya kecil Sandakan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib-naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan juga kesemua ketua-ketua sayap pergerakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Sandakan manakala 7 Mei untuk pengundian awal dan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian biasa berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Dalam perkembangan yang sama, Mohamad berkata walaupun keputusan PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau amat memberangsangkan tetapi banyak perkara yang berkaitan perlu diambil perhatian oleh parti.

“Alhamdulillah seperti mana yang kita tahu keputusan PRK (DUN Rantau) amat memberangsangkan tetapi ada banyak perkara yang perlu kita belajar dari PRK tersebut, signal-signal yang perlu kita ambil manfaatnya untuk kita terus memperkemaskan gerak kerja jentera parti, dijadikan sebagai ‘template’ untuk menghadapi pilihan raya kecil-pilihan raya kecil yang bakal diadakan di masa-masa akan datang.

“Termasuk juga gerak kerja untuk Wanita, Pemuda dan Puteri untuk memperkemaskan lagi cara kita mendekati dan menyantuni pengundi-pengundi secara lebih proaktif dan produktif.

“Ini jelas sekali dilihat di Cameron Highlands, di Semenyih kita perbaiki lagi sistem tersebut di Rantau dan jelas sekali menunjukkan bahawa gerak kerja yang dirancang begitu baik dan kemas menghasilkan keputusan yang baik,” Jelasnya yang juga ADUN bagi kawasan tersebut.

Pada PRK DUN Rantau 13 April lalu, Mohamad yang dikenali sebagai Tok Mat berjaya memperoleh 10,397 undi menewaskan calon dari Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas dengan majoriti sebanyak 4,510.

PH yang diwakili calon dari parti PKR, Dr S Streram memperoleh 5,887 undi manakala calon Bebas R. Malar Vizhi 83 undi dan Mohd Nor Yasin 79 undi.

Kemenangan tersebut juga mencipta ‘hatrik’ kepada BN setelah memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands dan juga DUN Semenyih. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.