UMNO-PAS Buka Landskap Politik Baru Demi Tolak Agenda Peribadi PH – Nasrudin


KUALA LUMPUR, 22 April – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi berkata ‘roadshow’ antara PAS dan UMNO telah dijalankan di seluruh negara dan ia menjadi noktah yang serius kepada perpecahan lampau dengan langkah sistematik untuk landskap politik baru demi menolak agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PH sebenarnya inginkan memuaskan nafsu masing-masing dengan ideologi berbeza lantas mereka mengharapkan agar permuafakatan yang terjalin antara UMNO dan PAS ini akan berpecah-belah sehingga gagal dalam menjalinkan kerjasama.

“Pertembungan begitu lama UMNO dan PAS mendedahkan kepada kecurigaan, tambah-tambah lagi musuh Islam yang sentiasa melakukan provokasi dan fitnah supaya kerjasama ini gagal. Mereka mahu melahirkan rasa curiga agar permuafakatan gagal… inilah yang dinanti-nantikan oleh musuh-musuh Islam.

“Mereka seperti cacing kepanasan dan mengatakan orang-orang Melayu ini seperti Taliban apabila UMNO dan PAS memperatkan kerjasama… hubungan hari ini menyebabkan mereka gelabah

“Kita bersetuju hendak menamatkan perseteruan dan tidak mahu membenarkan PH untuk terus berkuasa di negara ini,” katanya di Dewan Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, sempena Majlis Permuafakatan Ummah Gombak, malam tadi.

Menurutnya, pada hari ini momentum rakyat semakin tinggi dan tidak sabar untuk menjatuhkan kerajaan PH.

“Rakyat mesti mengalahkan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang dan kita akan menukar format melawan PH dengan satu lawan satu berbanding tiga penjuru yang kita lami selama ini.”

Tambahnya lagi, PH tiada idea hendak berhadapan dengan UMNO dan PAS dan kini gelombang permuafakatan tersebut perlu terus dibaja dan disemai dengan baik bagi menjadi suatu realiti dan menghentikan kesombongan, keangkuhan dan kebongkakan PH selama mereka memerintah.

“Hubungan permuafakatan UMNO dan PAS ini merubah lanskap politik baru dan PH kelihatan panik apabila UMNO dan PAS mengistiharkan permuafakatan ini.

“Permuafakatan ini mengajak orang-orang Melayu dan Islam supaya bersatu dan menghindari dari pengaruh-pengaruh asing yang akan menghancurkan umatnya dan secara tidak langsung musuh-musuh Islam merosakkan tamadun dan generasi agama Islam pada khususnya,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua PAS Gombak, Ustaz Salehuddin Mohd Nasir berkata politik tidak boleh dipisahkan dengan agama seperti yang dikata oleh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, PAS Gombak merasa cukup gembira dengan hasil kemenangan yang diraikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Daerah Undangan Negeri (DUN) Rantau baru-baru ini.
“Kemenangan ini adalah satu ibadah dan secara tidak langsung dapat merapatkan ukhwah persaudaraan sesama Islam.

“PAS merasa sungguh gembira apabila melihat kejayaan Rantau dan ini adalah tanda-tanda jelas kebangkitan permuafakatan ummah bangsa Melayu dari semasa ke semasa, ia semakin kukuh dan menunjukkan kegagahan bagi mempertahankan Islam.

“Insya- Allah… PAS Gombak merestui dalam permuafakatan yang ikhlas ini dan akan menggerakkan seluruh jentera bersama UMNO Bahagian Gombak untuk menjalankan kegiatan demi Islam,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.