Permuafakatan UMNO-PAS Bukan Retorik, Tapi Realiti Demi Agama, Bangsa Dan Negara – Shamsul Anuar


GOMBAK, 22 April – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, permuafakatan ummah yang dilakukan oleh UMNO dan PAS adalah suatu realiti dan bukannya retorik.

Katanya, walaupun dua parti ini berbeza pendekatan tetapi tetap mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin mengangkat martabat agama, bangsa dan negara serta di hormati semua lapisan masyarakat.

“Kita berhadapan dengan kerajaan yang mentadbir tidak mengikut ‘rule of law’ tetapi ‘rule of jungle’… kita berhadapan kerajaan hari ini yang jelas terbukti tidak mampu mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan Bumiputra malah kerajaan hari ini tidak mampu membela kepentingan rakyat.

“Kehidupan rakyat semakin menderita akibat harga barang naik, kos sara hidup meningkat, bantuan kebajikan dikurangkan yang memberi makna kita berhadapan dengan kerajaan yang tidak mampu menjaga rakyat.

“Yakinlah…kesepakatan UMNO dan PAS ini memberikan impak kebaikan yang sangat baik kepada semua rakyat dan tiada bukti yang mengatakan selama ini kita mengetepikan kaum-kaum lain,” katanya pada Majlis Permuafakatan Ummah Gombak, malam tadi

Katanya, pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan juga kepimpinan PAS telah terbukti tidak pernah menafikan hak kaum bukan Melayu/Islam.

“Dalam sejarah 60 tahun BN memerintah negara tiada satu pun kaum-kaum lain selain Melayu dipinggirkan dan menghormati antara satu sama lain.

“Begitu juga terbukti bahawa kerajaan PAS di Kelantan selama mereka memerintah lebih 25 tahun tidak ada satu pun dipinggirkan, kerajaan PAS Kelantan cukup menjaga kaum-kaum lain selain melayu, bukan sahaja di Kelantan, malah kerajaan PAS di Terengganu pun sama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Katanya, kesepakatan UMNO dan PAS telah diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan memperoleh kemenangan di PRK Semenyih dan Rantau baru-baru ini.

“Ini bukan hanya kemenangan orang Melayu semata-mata tetapi kemenangan untuk semua kaum, dan jika kita lihat kedua-dua parti orang Melayu ini bersatu dengan erat, tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi kuasa besar dalam politik di Malaysia ini.


“Saya percaya kita bersatu kerana nama Allah dan Islam serta berkat doa rakyat Malaysia yang inginkan UMNO dan PAS ini bersama, insya-Allah… kita akan berjaya,” jelasnya lagi.

Dalam hal tersebut, Ketua UMNO Bahagian Gombak, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin menjelaskan bahawa satu momen indah yang dinanti-nanti oleh masyarakat ialah apabila permuafakatan UMNO dan PAS menjadi realiti.

“Sekian lama berpecah belah dan dihasut supaya terus menerus bertelingkah namun akhirnya bersama.

“Allahyarham ayahanda saya ada menulis menyatakan bahwa kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, walaupun BN masih memenangi betapa bahayanya peranan Dap
memecah-belahkan masyarakat orang-orang Islam dan Melayu di negara ini.

“Susunan yang diatur dengan begitu cantik, skrip yang ditulis oleh Allah SWT dan akhirnya UMNO dan PAS Gombak adalah antara kawasan yang pertama mengadakan pertemuan sebegini, bermaksud pertemuan diperingkat cawangan, inilah satu-satunya pertemuan yang menggerunkan musuh-musuh Islam dalam negara pada hari ini.”

Katanya, UMNO dan PAS mesti bersatu demi orang-orang Melayu Islam yang sekian lama kita telah dihasut supaya terus bertelingkah.

“UMNO telah menerima kekalahan pada PRU ke-14 lalu dengan ketentuan Allah dan terima dengan hikmah disebalik kekalahan itu, rupa-rupanya ada hikmah di sebaliknya apabila hari ini, di dewan yang mulia ini UMNO dan PAS dapat bertemu, dan ini adalah rahsia pertemuan ummah pada malam ini.

“Kami UMNO Bahagian Gombak menyatakan serius dengan penyatuan ummah ini, ‘sekali kita melangkah penyatuan ini, kita tidak akan berundur dan tidak akan pastikan penyatuan ini akan kekal selamanya, ini janji UMNO Bahagian Gombak… insya-Allah,” tegasnya penuh yakin. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.