Jangan Keluarkan Kenyataan Mengelirukan…Tun M Perlu Hormat Kuasa Majlis Raja-Raja – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 22 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat seolah-olah wujudnya kecelaruan dalam memahami Perlembagaan Persekutuan oleh pihak eksekutif, tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian berhubung wawancara dengan akhbar The Star hari ini, Tun Dr Mahathir, dilaporkan berkata bahawa pada fikiran beliau sebelum ini menjadi tugas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk wajib memperkenankan semua lantikan kanan yang dibuat oleh Perdana Menteri, tetapi beliau tidak faham mengapa kini Majlis Raja-Raja dilibatkan sama.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini menimbulkan pelbagai persoalan, adakah beliau cuba tidak memahami atau beliau sememangnya tidak membaca Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas dan terang dalam Perkara 122B bahawa Ketua Hakim Negara ‘hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja’.

“Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas dalam menasihati Perdana Menteri bukannya sibuk melayani karenah puak liberal yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.”

Ujar beliau, tidak timbul soalan mengapa kini Majlis Raja-Raja dilibatkan sama dalam lantikan Ketua Hakim Negara ini kerana Perlembagaan Persekutuan sejak dahulu lagi memang menggariskan dengan jelas dan terang bahawa lantikan Ketua Hakim Negara ini hendaklah dibuat oleh YDPA selepas Baginda berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Tun perlu akur bahawa beliau tidak mempunyai kuasa mutlak dalam lantikan Ketua Hakim Negara ini, sebaliknya beliau terikat dengan pelbagai prosedur, khususnya yang terpenting adalah perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

“Prosedur lantikan Ketua Hakim Negara ini bermula daripada cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman seperti diperuntukkan oleh Seksyen 21(1)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, iaitu fungsi dan kuasa Suruhanjaya adalah ‘untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri’.”

Jelasnya, cadangan ini pula bukanlah boleh dibuat sembarangan kerana Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menyatakan bahawa dalam memilih calon, Suruhanjaya hendaklah mengambil kira antara lain, kriteria yang berikut:
(a) integriti, kompetensi dan pengalaman;
(b) objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik;
(c) ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dan kemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang;
(d) kerajinan dan kebolehan untuk menguruskan kes dengan baik; dan
(e) kesihatan fizikal dan mental.

“Selepas nama ini dikemukakan kepada Perdana Menteri, barulah ia dikemukakan kepada YDPA untuk urusan lantikan, tetapi sebelum melantik, YDPA hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kuasa Majlis Raja-Raja dalam soal lantikan kanan ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia digariskan dengan jelas dan terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 38 (2)(c) menyebut bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi… ‘membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.’

“Perkara 38 (6)(b) pula menyebut bahawa anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi ‘memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan’.”

Oleh itu, katanya, berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, jelas dan teranglah bahawa lantikan Ketua Hakim Negara ini adalah tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-Raja. – MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.