Dulu Canang Kos ERCL RM29 Bilion, Akhirnya PH Akui Itu Fitnah

KUALA LUMPUR, 22 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan PH tidak lagi membuat tuduhan bahawa kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya RM29 bilion setelah sekian lama ramai rakyat termakan fitnah mengenainya.

Secara tidak langsung katanya, ia juga mematikan fitnah PH kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang mahu ‘songlap’ berpuluh billion dengan menaikkan kos kepada RM55 bilion.

“Hari ini, mereka turut akui bahawa kos ECRL berjaya dikurangkan dengan sekurang-kurangnya RM10 bilion dengan hapuskan jajaran yang merentasi banjaran Titiwangsa.

“Kos juga dikurangkan dengan menghapuskan beberapa stesen lagi. Tetapi mereka kata itu penjimatan. Akibatnya ialah matlamat asal untuk ECRL sampai ke Kuala Lumpur tidak dapat dicapai.

“ECRL juga tidak sampai lagi ke sempadan negara Thailand di Wakaf Bharu untuk menggalakkan perniagaan di Thailand Selatan untuk menggunakan pelabuhan Malaysia,” tegasnya lagi dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Oleh itu ujarnya juga, PH kini terpaksa bertukar hala dengan tuduhan demi tuduhan mereka kepada BN mengenai ECRL.

“Sekarang mereka tuduh kos ECRL BN yang mereka dakwa ialah RM66 bilion (walaupun sebenarnya ialah RM55 bilion) adalah beban yang tidak dapat ditanggung oleh kerajaan dan kita tidak dapat membayar balik dalam tempoh pinjaman 20 tahun.

“Mereka kata kerajaan BN tidak bertanggungjawab dan membebankan negara. Tetapi RM44 bilion adalah ‘okay’ dan kerajaan senang untuk bayar balik.

“Oh, ye ke? Hanya ‘Raykat’ yang percaya bahawa ianya lebih mudah untuk kerajaan membayar balik pinjaman RM44 bilion walaupun kerajaan sudah kehilangan hasil sebanyak RM30 bilion setiap tahun akibat mansuhkan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” jelasnya.

Tetapi tegasnya juga, ianya mustahil untuk kerajaan membayar balik RM55 bilion ataupun RM66 bilion dengan lebihan kutipan tahunan GST itu.

“Yang mana sebenarnya lebih bertanggungjawab?,” soalnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.