Akui Bandar Malaysia, TRX Amat Menguntungkan Negara… PH Berbohong?


KUALA LUMPUR, 21 April – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung telah mengesahkan bahawa syarikat 1Malayisia Development Berhad (1MDB) bukan penyebab Malaysia akan muflis atau membebankan generasi akan datang.

Malah katanya dalam hantaran di Facebooknya, PH telah mengesahkan bahawa 1MDB begitu menguntungkan dan memainkan peranan penting untuk membangunkan negara kita.

“Oleh itu, PH tidak lagi boleh menggunakan 1MDB sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji manifesto mereka.

“Walaupun PH telah berbohong kepada orang ramai dengan menggunakan 1MDB sebagai alasan utama mereka selama bertahun-tahun, dengan berita mengenai Bandar Malaysia dan TRX ini, rakyat Malaysia berharap PH tidak lagi berbohong,” ujarnya.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memberi reaksi demikian ketika merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata projek 1MDB iaitu Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion boleh membantu menaikkan mata wang serta membangunkan negara.

Begitu juga dengan kenyataaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berkata projek TRX yang juga daripada 1MDB bernilai RM40 bilion merupakan salah satu usaha terbaik negara.

Justeru tambah Wee, jelas kelihatan kedua-dua projek tersebut sememangnya memberi pulangan yang besar hingga mampu menampung hutang 1MDB.

“Apabila dicampurkan, kedua-duanya berjumlah RM180 bilion.

“Ianya lebih daripada cukup untuk menampung hutang RM30 bilion,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.