Mana Tol Percuma Semenyih, Jadi Atau Tak… Kalau Tak Buatlah U-Turn… – Johan


KUALA LUMPUR, 20 April – “Pengumuman tol percuma semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Daerah Undangan Negeri (DUN) Semenyih ternyata gula-gula untuk beli jiwa pengundi… sebab itu sampai sekarang isu ini terus diam,” sindir Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz.

Jelas beliau, sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) benar-benar berniat untuk melaksanakan tol percuma dari pukul 11.00 malam sehingga 5.00 pagi, sudah pasti akan ada perkembangan berkaitan hal ini namun sehingga hari ini tidak ada satu pun yang dijelaskan kepada rakyat.

“Tol percuma dari 11.00 malam hingga 5.00 pagi adalah pengumuman yang tergesa-gesa oleh PH, bukan sahaja di Semenyih ada ‘gula-gula pilihan raya’ malah di PRK Rantau pun berlaku perkara yang sama di mana kerajaan mengumumkan East Coast Rail Link (ECRL) walaupun ketika itu tempoh berkempen belum bermula.

“Kini rakyat Semenyih mempersoal dan menuntut janji tol percuma, jadi atau tidak jadi? Kalau tidak jadi buatlah ‘u-turn’ cepat dari membuat rakyat tertunggu-tunggu… ‘kencing lama-lama, hancing bau di sini’ (Semenyih),” katanya kepada UMNO-Online.

Menurutnya lagi, sebenarnya rakyat ingin tahu perkembangan terbaru mengenai tol percuma sama ada kerajaan PH cuba memenuhi janji-janji yang terkandung dalam manifesto atau hanya pandai menawarkan harapan palsu.

“Kita nak tengok dari mana tol percuma ini bermula, adakah dari Pajam, Sungai Purun atau Eco Majestic yang menghala ke Semenyih sebab janji mengatakan tol ini diberi percuma menghala ke Semenyih,” ujarnya.

Untuk rekod, semasa PRK DUN Semenyih, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan melaksanakan tol percuma yang dikendalikan oleh Gamuda Berhad (Gamuda) pada waktu bukan puncak iaitu 11.00 malam hingga 5.00 pagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.