Kerajaan Jangan Aniayai Penjawat Awam – Asyraf


KUALA LUMPUR, 20 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya kecewa dan kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, bahawa kerajaan masih buat dan perlu terus buat cleaning-up process ke atas penjawat awam di beberapa kementerian semata-mata kerana mereka berpihak kepada kerajaan yang lalu.

Menurut beliau kerajaan perlu menjelaskan seberapa segera, apakah kenyataan Dr Ong Kian Ming ini merupakan keputusan rasmi Kabinet dan jika benar ia keputusan rasmi Kabinet mengapakah yang membuat pengumuman mengenainya adalah seorang Timbalan Menteri, bukan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri!

“Kenyataan Dr Ong Kian Ming ini menguatkan lagi persepsi di kalangan rakyat bahawa Kerajaan kini dikuasai oleh Dap kerana sejak dulu lagi pemimpin Dap diketahui tidak senang dengan penjawat awam seperti tertera dalam kenyataan Setiausaha Publisiti Dap, Tony Pua, pada 25 Oktober 2016 bahawa penjawat awam membebankan kerajaan.

“Penjawat awam, sama ada dari perkhidmatan awam am Persekutuan, angkatan tentera, pasukan polis, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan pendidikan dan perkhidmatan awam bersama adalah golongan profesional yang berkecuali dan memberi sumbangan amat besar kepada pentadbiran dan pembangunan negara.

“Kedudukan penjawat awam adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 132 (2A) memperuntukkan mereka memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 135 pula memperuntukkan bahawa mereka tidak boleh dibuang kerja dan diturun pangkat secara sesuka hati,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau, di sini hari ini.

Katanya lagi garis panduan mengenai larangan dan kebenaran ke atas penjawat awam untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik diperuntukkan dengan jelas dalam Seksyen 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002, tetapi mengikut Sub-Seksyen 5 tidak menjadi kesalahan untuk mereka menjadi ahli biasa parti politik.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah dahulu, sudah lama menyedari bahawa sebahagian penjawat awam menjadi ahli biasa parti politik Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan serta menyokong dan mengundi Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, tetapi BN tidak pernah menzalimi mereka semata-mata kerana pegangan politik mereka.

“Kenyataan Dr Ong Kian Ming ini adalah bukti jelas Pakatan Harapan menzalimi penjawat awam malah seperti mahu mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penjawat awam memegang jawatan selama diperkenankan oleh Baginda.

“Kenyataan Dr Ong Kian Ming ini sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi Kerajaan dalam satu kenyataan rasmi, bukan dibuat secara semberono oleh beliau dalam rancangan wawancara televisyen ‘Agenda AWANI’,” tambahnya.

Justeru, tambahnya lagi jika kenyataan Dr Ong Kian Ming ini bukan keputusan rasmi Kabinet, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada beliau kerana melampaui bidang kuasa diberi.