Wahdatul Amal: Situasi Menang- Menang UMNO-PAS


Politik perubahan atau siyasah al-taghyir menjadi fasa penting pasca PRU 14, sehingga membibitkan keserasian antara dua kabilah terbesar parti orang Melayu iaitu Kabilah UMNO dan Kabilah PAS.

Politik perseteruan dan dendam sudah tidak relevan lagi, ia sudah berubah kepada politik persefahaman dan kerjasama berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi tulen. Kata pepatah, biduk lalu kiambang bertaut, dan air yang dicincang tidak akan putus. Kesalingan UMNO dan PAS dilihat sedang memasuki fasa dinamik yang baharu dan perubahan ini merupakan suatu proses yang berlaku secara fitrah ke arah Wahdatul Amal.

Adakah benar UMNO dan PAS tidak mampu menggerakkan Wahdatul Amal kerana perbezaan dasar perjuangan antara keduanya. UMNO dengan asas dan tujuannya sebagai parti yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Manakala dasar Pas ialah Islam yang memperjuangkan wujudnya sebuah masyarakat dan pemerintah yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Mempertahankan kesucian Islam dan kemerdekaan serta kedaulatan negara.

Merujuk kepada dasar dan tujuan penubuhan UMNO dan PAS adakah selayaknya UMNO dilabelkan sebagai parti kafir dan PAS parti Islam. Kerjasama UMNO PAS adalah pakatan antara parti Kafir dan Islam.

Apakah semudah itu UMNO dilabelkan sebagai parti kafir yang ahlinya 98% beragama Islam. Jangan terlalu obsesi berpolitik sehingga melewati batas dan nilai. Islam menggariskan “al-ghayah la tubariru al-wasilah- matlamat tidak menghalalkan cara” bertentangan dengan kaedah “Matlamat menghalalkan cara” teori yang dipopularkan oleh Niccolo’ Machiavelli dalam bukunya “The Prince”. Adakah demi undi dan kuasa teori Machiavelli digunakan bagi melabelkan UMNO parti kafir?

Saya tidak nampak ada kesangsian dan jurang bagi UMNO dan PAS berta’awun dalam konteks Wahdatul Amal kerana apa yang diperjuangkan adalah demi bangsa, agama dan negara. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS dan Umno tidak boleh ‘berkahwin’ memandangkan kedua-dua parti itu sebenarnya adalah ‘adik-beradik.

Pengistilahan ‘adik-beradik’ ini membawa seribu satu makna yang tersirat, dan memberi dimensi baharu terhadap agenda Perpaduan ummah yang lebih cerah, Walaupun ada sesetengah pihak yang tidak senang hati menyebarkan dakyah dan hasutan bahawa Malaysia akan menjadi ‘Negara Taliban’ sekiranya UMNO dan PAS berta’awun dan seterusnya bertahaluf.

Islam menegaskan bahawa semua manusia mempunyai unsur biologi dan roh yang sama hingga memungkinkan persamaan tersebut mencetuskan perpaduan dan kesatuan dalam gerak kerja sepertimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu, Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku
(al-Anbiya 21:92)

Terlalu ideal untuk membayangkan Wahdatul Amal UMNO PAS berlaku secara drastik. Prosesnya memerlukan sedikit masa, apa yang penting ransangan dan dorongan ke arah Wahdatul Amal dilakukan secara konsisten. Situasi menang-menang amatlah diperlukan bagi menjayakan Wahdatul Amal disamping keupayaan menawarkan dan melaksanakan solusi yang menjadi penentu relevensinya perpaduan ummah.

Saya merasa sungguh terharu dengan Wahdatul Amal yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan PAS dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil (PRK). Keterlibatan Jabatan Amal PAS secara konsisten mengawal keselamatan dan keamanan ketika penganjuran program parti dan NGO. Kunjungan rasmi tidak rasmi pimpinan UMNO dan PAS ke muktamar dan mesyuarat agung bahagian dan cawangan. Semua ini merupakan sebahagian daripada langkah awal manifestasi Wahdatul Amal.

Bagi memastikan Wahdatul Amal terus diperteguhkan supaya tidak timbul permasalahan, UMNO dan PAS perlu mewujudkan situasi menang- menang yang kondusif kalangan pimpinan, pendokong dan jentera parti dengan menitikberat perkara-perkara berikut:

1. Takhtith atau perencanaan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tersusun atas semangat kepentingan bersama dan perpaduan ummah

2. Mengelak daripada berkonfrontasi perkara furu’ dan mengeluarkan kenyataan yang bersifat kontroversi, menyingung hati dan perasaan kedua-dua pihak

3. Meletakkan thiqoh kepada Jawatankuasa Kerja Khas Teknikal menyusun dan mengatur program dan aktiviti ke arah Wahdatul Amal

4. Qiyadah memainkan peranan memahamkan kepada ahli dan jentera berkaitan ta’awun UMNO PAS dan merangsang mereka melakukan Wahdatul Amal dengan penuh iltizam.

Situasi menang-menang adalah jalan terbaik ke arah Wahdatul Amal, ia mampu memperkemaskan lagi simpulan ikatan Perpaduan UMNO PAS dan merungkai sebarang su’uz zhan, prasangka negatif sebelum ini di antara kedua parti. Apabila kekakuan sudah dapat dileraikan, maka pastinya Wahdatul Amal dapat digerakkan dan diperkasakan demi ummah. Bertemu kembali dalam episod Secangkir Kopi seterusnya.

AHMAD ZAHID HAMIDI

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.