Sampai Bila PH Hendak Guna ‘Zikir’ Kita Tidak Ada Duit… Duit Kita Kena Curi?


KUALA LUMPUR, 19 April – “Sampai bila ‘zikir’ ‘kita tidak ada duit, duit kita kena curi’ hendak digunapakai? Rakyat sudah muak,” bidas Pemerhati Politik tempatan, Azizi Safar.

Ujar beliau kepada UMNO-Online, walaupun ‘zikir’ tersebut berjaya digunakan sehingga mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu tetapi lama-kelamaan rakyat sudah muak dengan ayat yang sama.

“Sepatutnya sekarang adalah masa untuk mereka membuktikan bahawa mereka jauh lebih baik daripada pentadbiran BN dahulu dan bukannya sentiasa memberi alasan tidak mampu buat kerja sebab duit tidak ada.

“Setiap kali berucap pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuklah Tun Dr. Mahathir sendiri tidak lepas-lepas mengulangi ayat tersebut. Kini sudah hampir setahun jadi Kerajaan, pun nak berzikir ayat sama lagi?

“Sebelum PRU-14 lagi pun hari-hari cakap duit kena curi tapi boleh pula terus tabur pelbagai janji, jadi mengapa selepas menang, masih guna zikir sama bila janji-janji tidak ditunaikan? Orang bodoh saja percaya, ayat ‘dulu kami tak tahu duit dah tak ada semasa kami buat janji’ sedangkan dulu hari-hari tuduh duit kena curi… jadi, mana mungkin tidak tahu duit tidak ada,” ujar beliau.

Tambah Azizi lagi, rakyat kini mahu segala janji ditunaikan dan apabila perkara tersebut tidak berlaku, rakyat berasa marah dan tertipu.

“Dalam media sosial juga dapat dilihat dengan jelas bagaimana rakyat menzahirkan kekecewaan mereka. Jika dulu, BN dan UMNO teruk dihentam tetapi kini perkara tersebut sudah terbalik. Rakyat sudah boleh menilai dan membuat perbezaan.

“Mana mungkin selamanya rakyat dibodoh dan dimomokkan dengan perkara yang sama kerana pada akhirnya hakikat dan realiti akan terbongkar,” ulasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.