Politik Fitnah Tidak Lagi Diterima Rakyat… PRK DUN Rantau Jadi Bukti

KUALA LUMPUR, 18 April – Politik perkauman serta politik fitnah dan pelbagai serangan peribadi dilihat bukan lagi satu senjata yang boleh menarik tumpuan mahu pun mengalih sokongan rakyat kepada mana-mana parti politik di negara ini apabila perkara tersebut dibuktikan oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau baru-baru ini.

Malah jika diimbau kepada dua lagi PRK sebelum ini iaitu PRK Parlimen Cameron Highalnds dan juga DUN Semenyih jelas menampakkan bagaimana hayunan politik ke arah berkenaan tidak mengangu-gugat undi rakyat pada hari mengundi untuk mereka membuat pilihan yang terbaik dengan menolak parti yang mengamalkan budaya fitnah dan sebagainya.

Bagi Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R.Thinallan melihat pengundi hari ini sudah cukup bijak untuk membuat penilaian dan mereka semestinya mahu memilih yang terbaik dan bukannya sekadar memberikan janji-janji manis namun akhirnya sekadar janji atau menifesto semata-mata.

Menurut beliau bukan sahaja pengundi di DUN Rantau malah sebelumnya dapat dilihat apabila Cameron Highlands dan juga Semenyih memperlihatkan kebangkitan rakyat dalam menunjukkan kuasa mereka yang sebenarnya dalam memberikan signal kepada kerajaan hari ini.

“Bercakap soal Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) diterima oleh penduduk Rantau tanpa mengira kaum dan juga agama dan inilah yang saya katakan tadi politik perkauman mahu pun budaya fitnah telah ditolak oleh rakyat. Pengundi hari ini di mana-mana sahaja saya yakin tidak lagi berteraskan kepada isu-isu seumpama itu.

“Propaganda Pakatan Harapan (PH) di Rantau bukan sahaja tidak menjadi malah memakan diri mereka sendiri… apa tidaknya… bukan sahaja manifesto tidak ditunaikan datang pula dengan janji-janji baharu sedangkan janji sebelum ini pun masih belum ditunaikan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah sokongan golongan muda pula dilihat makin meningkat dan gambaran tersebut memperlihatkan budaya politik yang dibawa oleh PH tidak lagi diterima pelbagai peringkat.

“Jika sebelum PRU lalu mungkin… mungkin apa yang mereka war-warkan mudah diterima namun selepas PRU yang lalu rakyat sudah dapat melihat perkara yang sebenarnya. Janji peluang pekerjaan… mana perginya. Begitu juga dengan yang lain.

“Apa pun pada saya politik yang ditonjolkan oleh PH pada sesi kempen DUN Rantau menjelaskan segala-galanya kepada umum bahawa rakyat tidak lagi menerima politik sedemikian rupa malah makin muak,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.