Kenyataan ADUN Kemayan Berkaitan SRJKC, SRJKT Pandangan Peribadi, Bukan Pendirian Parti

KUALA LUMPUR, 18 April – Setiausaha Agung UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata, ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman berkaitan SRJKC dan SRJKT di sidang DUN semalam adalah semata-mata pandangan peribadi dan bukan sekali atas dasar dan pendirian parti.

Tegas beliau, Ibu pejabat UMNO memahami seseorang Ahli Dewan mempunyai kebebasan dan kekebalan tertentu untuk bersuara atau memberi pandangan mereka sewaktu dalam persidangan namun ia tidak bermakna itu adalah pendirian parti.

“Perlu ditegaskan, kedudukan SRJKC dan SRJKT adalah sesuatu yang telah terjamin dalam Perlembagaan negara serta Dasar Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, UMNO dan BN akan tetap serta terus mempertahankan kedudukan SRJKC dan SRJKT.

“Justeru pemimpin parti diingatkan untuk menghormati dasar yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan tidak harus mempertikaikannya dalam bentuk yang memberi mesej yang salah dan mengelirukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Annuar, satu surat akan dihantar kepada ADUN Kemayan berhubung perkara berkaitan.

Beliau turut berharap, kekeliruan seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Saya harap, tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi kekeliruan berikutan kenyataan peribadi ADUN Kemayan tersebut,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.